Paling Popular
Terkini

ULASAN l Tiga orang telah dicalonkan oleh cawangan-cawangan PSM untuk jawatan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), setelah tarikh tutup pada 23 Jun lalu.

Dalam garis panduan pengendalian pemilihan PSM, proses pemilihan akan diadakan dalam dua peringkat. Peringkat pertama akan memilih kepimpinan tertinggi mengandungi enam jawatan, iaitu pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha agung, timbalan setiausaha agung, bendahari dan timbalan bendahari.

Dalam PSM, jawatan setiausaha dan bendahari bukannya dilantik tetapi perlu melalui proses pemilihan parti.

Dalam peringkat pertama pemilihan PSM, semua calon yang dicalonkan adalah wajib bertanding sekurang-kurangnya satu jawatan dan tidak boleh tarik diri daripada semua pencalonan jika mereka dicalonkan untuk lebih daripada satu jawatan.

Kemudiannya peringkat kedua pemilihan akan memilih sembilan jawatan ahli jawatankuasa pusat, di samping mengundi untuk jawatankuasa tatatertib dan juru audit yang biasanya akan diadakan pada hari ketiga kongres.

Mereka yang gagal menang dalam peringkat pertama juga boleh bertanding di peringkat kedua jika dicalonkan. Namun untuk peringkat kedua juga, semua calon tidak boleh tarik diri.

Kerumitan proses pemilihan parti PSM yang dikendalikan dengan cara ini adalah untuk memaksimumkan penyertaan, merayakan demokrasi dan memberikan peluang kepada semua ahli parti supaya dapat melibatkan diri dalam pemilihan parti.

3 nama

Dalam kongres PSM tahun ini, buat pertama kalinya akan melihat seorang pengerusi baru dan seorang timbalan pengerusi baru mengambilalih tugas, memandangkan dua orang penyandang jawatan ini, Dr Mohd Nasir Hashim dan M Sarasvathy tidak dapat bertanding kerana resolusi parti tahun 2007.

Tiga nama telah dicalonkan untuk jawatan pengerusi, di mana pencalonan tertinggi diperolehi oleh Dr Jeyakumar Devaraj dengan 70 peartus daripada cawangan telah mencalonkannya, diikuti oleh S Arutchelvan dengan pencalonan daripada 20 peratus cawangan dan Saraswathy yang mendapat pencalonan daripada 10 peratus cawangan.

Saraswathy dan saya telah menarik diri daripada pertandingan untuk jawatan pengerusi, namun mesyuarat jawatankuasa pusat telah menolak permohonan Saraswathy untuk menarik diri berdasarkan garis panduan pemilihan parti, kerana beliau hanya dicalonkan untuk satu jawatan sahaja dalam peringkat pertama, maka perlu bertanding berbanding dengan saya yang telah dicalonkan untuk jawatan lain di peringkat pertama.

Maka, pertandingan untuk jawatan pengerusi parti kali ini adalah pertandingan satu lawan satu antara dua orang aktivis kanan dalam parti yang sebenarnya datang dari kumpulan rumpun perjuangan yang sama.

Kedua-dua, Dr Jeyakumar dan Saraswathy adalah pengasas kepada kumpulan Alaigal dan Kalvi Kullu. Kedua-dua mereka berasal dari Perak. Mereka berdua juga pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO).

Mereka berdua juga aktivis rakyat yang disegani ramai. Ahli PSM akan berpecah kepala untuk membuat pilihan antara seorang bekas ahli parlimen yang popular dan seorang bekas timbalan pengerusi parti yang berpengaruh.


Walau apa scenario pun, yang pasti adalah pertandingan dalam PSM biasanya satu urusan yang dingin memandangkan semangat kekomradan dalam parti dan jawatan tidak dilihat sebagai kuasa. Selain itu, amalan lobi-melobi adalah amat minimum dan jarang.

Jumlah calon

Kongres PSM ke-21 yang bakal berlangsung di Kajang dari 12 hingga 14 Julai 2019, akan juga memperlihatkan pertandingan di semua peringkat, di mana setelah urusan calon menarik diri, jumlah calon yang akan bertanding adalah seperti berikut:

Timbalan Pengerusi - 6 orang calon

Setiausaha Agung – 2 orang calon

Bendahari Kehormat – 4 orang calon

Timbalan Setiausaha Agung – 7 orang calon

Timbalan Bendahari Kehormat – 7 orang calon

Selain itu, untuk peringkat kedua yang memilih sembilan orang untuk jawatan ahli jawatankuasa pusat pula, terdapatnya seramai 36 orang dicalonkan. Untuk jawatankuasa tatatertib, seramai 41 nama termasuk Dr Nasir telah dicalonkan untuk mengisi lima jawatan.

Untuk Juruaudit, seramai 20 nama telah dicalonkan untuk mengisi dua posisi. Namun demikian, buat masa kini, memang ada nama yang bertindih. Syarat untuk menjadi ahli jawatankuasa tatatertib dan juruaudit adalah mereka tidak boleh memegang jawatan dalam kepimpinan utama dan jawatankuasa pusat.

Ramai antara nama ini mungkin akan digugurkan secara automatik jika mereka menang di peringkat yang lebih tinggi.

Itulah proses pemilihan PSM. Sebuah parti kecil yang mengamalkan demokrasi parti dan disiplin pemilihan parti yang kuat dan unik.


S ARUTCHELVAN ialah ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS