Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul RUU tambah 13 kerusi DUN Sabah akan dibentang hari ini

PARLIMEN l Kerajaan dijadual membentangkan rang undang-undang yang akan menambah bilangan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 pada sidang Dewan Rakyat semasa.

Rang undang-undang itu disenaraikan sebagai nombor lima dalam Peraturan Mesyuarat Dewan hari ini.

Menurut kertas peraturan mesyuarat, anggota parlimen juga menerima dua laporan yang berkaitan dengan pelaksanaan persempadanan semula Sabah.

Ia adalah laporan Kajian Semula Persempadanan Semula 2017 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Latihan Persempadanan Semula Sabah) 2019.

Pada 9 Ogos 2016, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan kepada Perkara 14 (2) perlembagaan negeri, untuk menambah 13 kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian mengemukakan cadangan 13 kerusi negeri tambahan Sabah itu kepada Perdana Menteri Najib Razak, yang tidak membentangkannya di Parlimen.

Adalah dilaporkan pada Disember 2018 bahawa Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengemukakan perkara itu semula kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan perdana menteri.

RUU itu akan menyaksikan tambahan enam kerusi majoriti penduduk Islam, dua kerusi majoriti Bumiputera bukan Islam dan satu kerusi majoriti Cina. Empat lagi adalah kerusi campuran.

Kerusi majoriti pengundi Islam itu adalah Pintasan (di bawah Parlimen Kota Belud), Tanjung Dumpil (Putatan), Pantai Dalit (Tuaran), Sungai Manila (Libaran), Lamag (Kinabatangan) dan Kukusan (Kalabakan).

Dua kerusi majoriti Bumiputera bukan Islam itu pula adalah Dambai (Papar) dan Tulid (Pensiangan). Empat kerusi campuran berkenaan adalah Bengkoka (Kudat), Darau (Sepanggar), Telupid (Beluran) dan Mengaris (Kota Marudu).

Kerusi tunggal majoriti Cina yang dicadangkan adalah di Segama di Silam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS