Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO tuntut semua ahli petugas khas kes Amri, Koh letak jawatan
Diterbitkan:  Jul 8, 2019 11:42 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) mengulangi tuntutannya mendesak peletakan jawatan semua anggota pasukan petugas khas yang menyiasat kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.

Caged dalam satu kenyataan berkata bahawa di sebalik pengunduran bekas ketua bahagian perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Zamri Yahya tetap dalam pasukan petugas itu.

"Misi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard termasuk bertindak sebagai Jabatan Hal Ehwal Dalaman, untuk mengesan dan menangani potensi salah laku oleh kakitangannya.

"Jelas Zamri Yahya, pengarah semasa jabatan itu, adalah pihak yang berkepentingan.

"Caged menuntut Zamri untuk mengundurkan dirinya secara terhormat, seperti yang dilakukan oleh rakannya Mokhtar," kata kumpulan itu.

 

Menurut Caged, laporan inkuiri Suhakam yang menyiasat kehilangan Amri dan Koh pada 3 April lalu, penuh dengan dakwaan salah laku oleh kakitangan serta pegawai polis dan ini perlu disiasat oleh pasukan petugas khas itu.

Laporan itu merumuskan Cawangan Khas (SB) polis bertanggungjawab terhadap "kehilangan paksa" Amri dan Koh.

Susulan itu, kerajaan pada Mei setuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat laporan yang dikeluarkan Suhakam.

Koh, 64, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017, manakala Amri, 44, yang merupakan pengasas bersama NGO Perlis Hope, hilang pada 24 November 2016.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS