ADS
Paling Popular
Terkini
story images
story images

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-33 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan secara langsung perbicaraan ini:



ADS

5 petang: Perbicaraan ditangguhkan dan akan disambung semula pagi esok.

Peguam bela Najib, Farhan Read, dijangka akan mengambil giliran menyoal balas saksi pendakwaan.


ADS

4.55 petang: Bekas setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Maliami Hamad, bersetuju dengan saranan peguam bela Najib Razak, Harvinderjit Singh, bahawa kenyataan Azlin Alias bukanlah berbentuk arahan.

Azlin ialah ketua setiausaha sulit perdana menteri ketika kejadian itu berlaku.

Harvinderjit: Berhubung kenyataan Azlin yang beliau berkata, jika ada sesiapa perlukan bantuan boleh beritahu dia, ia tidak berbentuk arahan, betul?

Maliami: Betul.

Terdahulu Maliami memberi keterangan bahawa Allahyarham Azlin memberitahu, sebarang masalah berkaitan kelulusan kabinet mengenai jaminan kerajaan terhadap pinjaman SCR boleh dirujuk kepadanya.


4 petang: Ketua Setiausaha Sulit Najib Razak, Azlin Alias, pernah mendakwa beliau boleh menyegerakan dan menyelesaikan isu-isu pentadbiran termasuk permohonan SRC untuk mendapatkan jaminan kerajaan.

ADS

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Maliami Ahmad berkata pembabitan Azlin adalah membantu pegawai MOF menyediakan kertas kabinet dalam tempoh beberapa jam.

Kalau ada masalah, katanya, Azlin mendakwa beliau boleh membantu.

Hal itu, kata Maliami, termasuk menyediakan kertas kabinet bagi jaminan pertama kerajaan untuk permohonan SRC pada Ogos 2011.

Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata Azlin berjanji jika ketika itu ada maklumat yang tidak mencukupi atau isu pentadbiran berbangkit, beliau akan membantu mengatasinya.

Untuk rekod Azlin meninggal dunia dalam kemalangan helikopter pada 4 April 2015 lalu. Turut terbunuh dalam kejadian itu ialah anggota parlimen Rompin, Dr Jamaluddin Jarjis.


3.50 petang: Pegawai Kementerian Kewangan (MOF), Maliami Hamad, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau menandatangani surat dialamatkan ke Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2012 mengikut arahan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Wan Abd Aziz Wan Abdullah.

Bertugas sebagai setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari ketika itu, Maliami berkata Wan Abd Aziz enggan menandatangani surat yang dialamatkan ke Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Azian Mohd Noh.

Surat itu menyatakan permohonan untuk KWAP menyalurkan pinjaman RM2 bilion kepada SRC sebelum jaminan kerajaan dikeluarkan oleh MOF.

Kata Maliami, permohonan itu adalah sesuatu yang luar biasa dan hanya berlaku sekali sepanjang tempoh tujuh tahun dia bertugas menguruskan hal ehwal pinjaman di MOF.

Maliami Hamad

Maliami memberi keterangan semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Suhaimi: Tapi kenapa kes ni kamu sign?

Maliami: Pada pagi 28 Mac, saya masih ingat Tan Sri Wan Aziz membuat call kepada saya melalui telefon meminta supaya wang pinjaman SRC daripada KWAP dikeluarkan pada hari itu, 28 Mac.

Sehubungan itu saya menyediakan draf surat ini dan saya pergi jumpa dengan ketua setiausaha perbendaharaan, sebab arahan (datang) daripada dia. Saya cuma terima arahan ketua setiausaha perbendaharaan.

Saya jumpa ketua setiausaha perbendaharaan, beliau tengok draf surat, dan setuju. Pada mula saya letak tandatangan ketua setiausaha perbendaharaan, tp beliau minta saya tandatngan surat ini.

Suhaimi: Kamu tau ini bukan amalan biasa?

Maliami: Pertama kali, tak pernah berlaku. Kerana masa tu surat jaminan kerajaan pun belum dimuktamadkan dan belum ditandatangani, masih ada pada peguamcara.

Suhaimi: Jadi kenapa kamu sanggup tandatangan untuk beritahu KWAP keluarkan pinjaman?

Maliami: Pada peringkat saya, komunikasi saya hanya pada ketua setiausaha perbendaharaan. Apa-apa arahan daripada ketua setiausaha perbendaharaan, sy sebagai pegawai bertanggungjawab dalam hal jaminan, terpaksa ikut arahan dia.

Pada waktu itu dia ada beritahu saya, pengeluraran perlu disegerakan, dia ada sebab perdana menteri minta. Itu saja dia beritahu.

Suhaimi: Dan siapa ketua setiausaha perbendaharaan waktu itu?

Maliami: Tan Sri Wan Abd Aziz Wan Abdullah.

Suhaimi: Bila dia sebut PM, tau siapa?

Maliami: Saya sebagai pegawai hanya laksana tindakan dan keputusan dibuat di peringkat atasan. Saya hanya berkomunikasi setakat ketua setiausaha perbendaharaan saja. Selebihnya saya tak terlibat. Arahan turun pada saya untuk dilaksanakan.


3.40 petang: Mahkamah diberitahu, Najib Razak bersetuju dengan cadangan dikemukakan ketua setiausaha perbendahaan - pada 2012 - iaitu Wan Abd Aziz Wan Abdullah supaya menolak permohonan SRC International untuk meluaskan skop penggunaan pinjaman RM2 bilion kedua yang diterimanya.

Bekas pegawai Kementerian Kewangan (MOF), Maliami Hamad, berkata Najib - yang ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan - bersetuju dengan memo Wan Abd Aziz agar penggunaan pinjaman SRC digunakan mengikut keputusan kabinet pada 8 Feb 2012.

Untuk rekod pada tarikh berkenaan kabinet meluluskan jaminan kerajaan kali kedua kepada SRC bagi agar dana sehingga RM2 bilion dibelanjakan untuk sektor sumber semula jadi.

Menurut Maliami, SRC bagaimanapun mahu skop penggunaan pinjaman berkenaan diperluaskan termasuk untuk modal kerja (working capital) syarikat tersebut.

Maliami Hamad

Perkataan modal kerja juga dimasukkan dalam kertas persetujuan pinjaman ditandatangani di antara SRC dan Kumpulang Wang Persaraan (KWAP).

Menurut saksi terbabit pertemuan diadakan di antara MOF, SRC dan KWAP pada 12 Apr 2012 bagi membincangkan permohonan syarikat berkenaan susulan memo dikeluarkan Wan Abd Aziz.

Kata Maliami memo tersebut kemudian dirujuk kepada Najib yang menyatakan persetujuannya terhadap cadangan Wan Abd Aziz.

Maliami kemudian memberitahu mahkamah, memo kepada kabinet yang ditandatangani Najib pada 11 Mei 2012 menyatakan sebaliknya.

Saksi tersebut bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim bahawa memo kepada kabinet meminta agar mereka memberi pertimbangan untuk meminda tujuan pinjaman berkenaan supaya ia turut dibenarkan menjadi modal kerja SRC.

Kata Maliami, kabinet kemudian meluluskan pindaan tersebut.


'SRC beri satu perenggan justifikasi untuk pinjaman RM2b KWAP'

3.30 petang - Seorang pegawai dari Jabatan Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan dalam keterangannya berkata permohonan SRC International untuk mendapat jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion yang pertama daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada akhir tahun 2011 hanyalah satu perenggan.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, saksi ke-43, Maliami Hamad mengatakan perenggan itu tidak mencukupi untuk dibentangkan kepada kabinet.

Suhaimi: Adakah kamu mempunyai peluang untuk menyemak keperluan dalam jaminan kerajaan itu, seiring dengan apa yang dikehendaki oleh SRC International melalui Nik Faisal Ariff Kamil pada masa itu?

Maliami: Pada masa itu, maklumat yang diberikan kepada saya adalah terhad. Surat (dari SRC International memohon jaminan kerajaan) hanya mempunyai dua perkara: Syarat pinjaman dan justifikasi pinjaman, yang hanya satu perenggan. Ini tidak cukup untuk dikemukakan kepada kabinet.

Justifikasi itu dibaca sebagai "tujuan jaminan kerajaan adalah untuk memastikan sumber tenaga berterusan dalam tempoh ini untuk memastikan pembangunan negara."

Maklumat ini agak terhad, dan tidak cukup untuk kabinet (mempertimbangkan sama ada untuk meluluskan jaminan).


SRC dapat perhatian khas dari Najib -Saksi

3.15 petang: Permohonan SRC International untuk jaminan kerajaan ke atas dua pinjaman pada tahun 2011 dan 2012 telah diproses dengan cepat kerana syarikat itu menerima perhatian khusus daripada Perdana Menteri Najib Razak.

Bekas pegawai Kementerian Kewangan, Maliami Hamad berkata ini adalah sebab yang diberikan kepadanya oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika memberitahu beliau untuk mempercepatkan proses permohonan.

Setiausaha Agung Perbendaharaan ketika kabinet meluluskan dua jaminan kerajaan untuk SRC International ialah Wan Abd Aziz Wan Abdullah.

"Pada pinjaman pertama dan kedua saya ditanya pegawai saya Afidah Azwa kenapa perlu segerakan.

"Ini kerana puan Afidah tak punyai masa mencukupi untuk buat pengesahan maklumat dari SRC sebelum dimasuk dalam memo kabinet untuk disedia bentang kepada mesyuarat kabinet

"Saya telah maklumkan bahawa arahan pada saya dari KSP adalah untuk buat dengan segera, kerana SRC dapat perhatian khas daripada PM iaitu Datuk Seri Najib sendiri dan dana keperluan adalah mendesak," kata Maliami diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.


2.37 petang - Perbicaraan bersambung semula.


1 tengah hari - Pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa ia telah menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap saksi Suboh Md Yassin, dan meminta perbicaraan berhenti rehat untuk makan tengah hari.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan prosiding disambung semula pada jam 2.30 petang.


'Artikel 117 mengenai penasihat emeritus ubah SRC sebagai syarikat'

12.50 tengah hari - Mahkamah diberitahu kemasukan Artikel 117 ke dalam Memorandum Penubuhan SRC International bagi pelantikan penasihat emeritus mengubah syarikat itu.

Bekas pengarah bukan eksekutif, Suboh Md Yassin ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram hari ini berkata SRC International tidak lagi menjadi "syarikat biasa" selepas artikel itu diperkenalkan.

Suboh: Penyisipan Artikel 117 mengubah rupanya. Bukan lagi syarikat biasa. Ia mempunyai artikel itu. Kamu mesti, untuk beroperasi, kamu perlu melihat arahan dari sesiapa yang duduk di sana.

Sithambaram: Penasihat emeritus ini, siapa dia?

Suboh: Beliau adalah perdana menteri ketika itu.

Sithambaram: Dan sekadar untuk rekod, siapa perdana menteri ketika itu?

Suboh: Datuk Seri Najib (Abdul Razak).

Saksi itu kemudian memberi keterangan bahawa sama ada SRC International atau anak syarikatnya, Gandingan Mentari tidak membuat sebarang laporan dengan pihak berkuasa mengenai kerugiannya.

Sithambaram: Semua urusniaga ini dijalankan, dari apa yang telah kami tunjukkan kepada kamu antara 2014 dan 2015. Dan ini melibatkan ratusan juta ringgit. Adakah SRC International atau Gandingan Mentari membuat sebarang laporan tentang dana yang dicuri dari akaun-akaun ini?

Suboh: Tidak.

Sithambaram: Adakah kamu sedar jika SRC International atau Gandingan Mentari mengambil tindakan undang-undang terhadap bank?

Suboh: Tidak setahu saya.


Suboh akui ingatan kurang jelas kerana masalah kesihatan

11.31 pagi: Saksi ke-42 pendakwaan, Suboh Md Yassin mengakui bahawa ingatannya kurang jelas akibat penyakit strok yang pernah dihadapinya dan pembedahan pintasan jantung.

Bekas pengarah SRC International itu mengakui perkara tersebut semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

"Kesihatan saya tidak begitu baik, akibat pintasan jantung dan strok, ia menjejaskan tekak saya, keupayaan saya untuk menelan.

"Ingatan saya agak terjejas," kata Suboh yang berusia 68 tahun kepada mahkamah.


Tandatangan Nik Faisal atas arahan bank juga 'dipotong dan ditampal'

10.45 pagi: Tandatangan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International dan Pengarah Urusannya, Nik Faisal Ariff Kamil di atas arahan perbankan kepada bank AmIslamic pada 2014 dan 2015 juga telah dipotong dan ditampal (copy and paste).

Ketika diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, saksi Suboh Md Yassin bersetuju bahawa tandatangan Nik Faisal pada dokumen perbankan yang dikemukakan di mahkamah adalah serupa.

Ini selepas Sithambaram menunjukkan perbandingan satu demi satu tandatangan Nik Faisal menggunakan projektor - kaedah sama dilakukan pihak pembelaan untuk membandingkan tandatangan Suboh.

Minggu lepas saksi itu bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa semua tandatangan beliau pada salinan lembut (sof copy) dokumen telah dipotong dan ditampal dari tandatangan asal beliau.

Sitham: Jadi pertamanya (saya tunjukkan kamu) satu set mengandungi 4, kemudian tunjukkan kamu 10. Kamu setuju melihat kepada tandatangan ini, terdapat seseorang yang telah salin dan tampal tandatangan Nik Faisal, sama seperti kamu?

Suboh: Ya

Sitham: Jadi ia mungkin bermaksud Nik Faisal tidak menandatangani semua 14 dokumen Rentas?

Suboh: Ya

Bagaimanapun, Shafee bangkit dari tempat duduknya untuk mengingatkan Sithambaram untuk bertanya soalan secara terus semasa pemeriksaan balas.

Sithambaram mempertahankan soalannya dan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah bertanya saksi itu atas bukti langsung yang telah dikemukakan di mahkamah.


Mahkamah rehat untuk pendakwa sediakan dokumen

10.40 pagi: Apabila pihak pembelaan memberitahu mahkamah bahawa mereka telah selesai menyoal balas Suboh Md Yassin, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram meminta rehat seketika untuk membenarkan pembantu mahkamah menyediakan projektor.

Ini juga bagi membolehkan mereka mendapatkan dokumen-dokumen asal yang sedang dibuat salinan oleh pihak pembelaan.

Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa beliau memerlukan dokumen dan projektor untuk melakukan pemeriksaan balas.

Sebelum berhenti rehat, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bertanya jika terdapat sebarang maklumat terkini mengenai usaha meminta penangguhan kes 1MDB dari hakim Collin Lawrence Sequreah.

Peguam Negara, Tommy Thomas kemudian memberitahu mahkamah bahawa Collin pagi ini menolak permohonan mereka dan pendengaran 1MDB akan bermula pada 19 Ogos ini.

Mahkamah kemudian berhenti rehat untuk seketika.


Suboh tidak dicari SPRM selepas beri keterangan

10.30 pagi: Mahkamah diberitahu oleh Suboh Md Yassin bahawa selepas keterangannya diambil oleh SPRM di Abu Dhabi pada 2015, beliau tidak lagi dicari oleh penyiasat kes SRC International walaupun selepas beliau pulang ke Kuala Lumpur setelah sebulan melarikan diri daripada pihak berkuasa di Bangkok dan UAE.

Ini sehinggalah pada Mei 2018, apabila beliau dipanggil untuk diambil keterangan sekali lagi beberapa minggu selepas perubahan kerajaan.

Suboh berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Apabila kamu kembali pada tahun 2015 ke Malaysia, adakah kamu sedar kamu masih dikehendaki oleh SPRM?

Suboh: Saya tidak tahu.

Shafee: Adakah kamu dicari oleh SPRM selepas pulang?

Suboh: Tidak.

Suboh juga bersetuju dengan cadangan Shafee agar mahkamah mendapatkan maklumat perjalanannya bagi menentukan berapa lama saksi itu menghabiskan masa di luar negara pada tahun 2015 dan 2018.

Ini selepas Suboh tidak dapat ingat dengan tepat berapa lama dia di luar negara apabila melarikan diri pada 2015, dan bila dia meninggalkan negara untuk ke Indonesia bagi bercuti pada Mei tahun lepas.


Suboh akui diperdaya Nik Faisal untuk tinggalkan M'sia

10.20 pagi: Bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Shafee Abdullah bahawa saksi ke-42 itu telah diminta meninggalkan Malaysia pada 2015 apabila CEO SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil memperdayakan dengan mengatakan dia telah melakukan kesalahan.

Shafee: Saya katakan kepada kamu bahawa Nik Faisal memperdaya kamu pada masa itu, dia telah memperdayakan pemikiran kamu bahawa kamu telah melakukan sesuatu yang salah dan untuk mengendurkan suasana, dia mencadangkan kamu pergi jauh?

Suboh: Ya.

Shafee merujuk kepada tandatangan Suboh pada 17 arahan perbankan melibatkan berjuta-juta ringgit dana SRC International, anak syarikat Gandingan Mentari dan rakan program, CSR Ihsan Perdana antara 2014 dan 2015.

Terdahulu, Suboh mengulangi bahawa beliau tidak pernah bertanya Nik Faisal mengapa saksi itu diminta meninggalkan Malaysia untuk ke Bangkok, Thailand dan kemudian ke Abu Dhabi, United Arab Emirates (UAE).

Suboh memberi keterangan bahawa Nik Faisal meminta kepadanya untuk meninggalkan Malaysia pada tahun 2015.


Peguam pertahan tindakan bawa keluar eksibit

9.39 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan telah membawa keluar 17 slaid dokumen dari mahkamah pada Rabu lalu.

DPP mengatakan dokumen ini penting kerana ia telah pun dikemukakan di mahkamah tetapi eksibit itu tidak berada di mahkamah hari ini.

Sitham merujuk kepada 17 slaid daripada dokumen asal arahan bank untuk pemindahan berjuta-juta ringgit yang melibatkan akaun SRC International, anak syarikat Gandingan Mentari, dan rakan kongsi program CSR, Ihsan Perdana.

Slaid itu digunakan oleh pihak pembelaan minggu lalu untuk cuba membuktikan bahawa tandatangan saksi ke-42 dan bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin telah dipalsukan antara 2014 dan 2015 untuk membenarkan pemindahan berkenaan.

"Semua dokumen ini adalah penting, kerana jika tidak di mahkamah, ia boleh menyebabkan gangguan.

"Ini penting kerana laporan polis telah dibuat, tetapi eksibit itu tidak berada di sini," kata Sitham kepada hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan ini kerana pada minggu lepas, mereka mahu membuat salinan slaid berkenaan di sebuah kedai fotostat di luar mahkamah.

Shafee berkata slaid itu telah dibawa keluar dari mahkamah kerana kedai berkenaan boleh melakukannya sekali lalu.

"Tidak ada hanky panky di sini kerana seseorang perlu fotostat ia (17 slaid itu)," kata Shafee.

Peguam bela Najib yang lain, Harvinderjit Singh kemudian berkata isu gangguan tidak timbul terutama apabila slaid berkenaan adalah penting berikutan keterangan Suboh telah berubah.

Peguam Negara, Tommy Thomas membalas bahawa mahkamah memelihara bahan eksibit dan sebarang percubaan untuk membawanya keluar dari mahkamah perlu dibuat secara terbuka dan telus.

Nazlan kemudian memutuskan bahawa pihak pembelaan pada masa akan datang perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan pihak pendakwaan sebelum sebarang eksibit boleh dibawa keluar dari mahkamah buat sementara waktu.


Najib masuk kandang tertuduh

9.38 pagi: Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila perbicaraan bermula.


9.30 pagi: Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah memasuki mahkamah.

Beliau dilihat bersalam dengan pasukan pembelaan sementara menunggu prosiding bermula.


9.24 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan duduk di barisan hadapan galeri awam bagi menunggu perbicaraan.

Bekas perdana menteri itu terdahulu menghadiri sebutan kes berasingan mengenai 1MDB di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan barisan pasukan pendakwaan, dan peguam bela Najib, Yusof Zainal Abiden dan pasukan pembelaan.


Adakah keterangan saksi ke-42 pendakwaan dan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin sebenarnya membantu pihak pembelaan, Najib Razak sendiri dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu?

Inilah yang akan cuba dibuktikan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi ini.

Najib didakwa atas tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat itu sebanyak RM42 juta.

Selepas prosiding pada 3 Julai lalu Shafee memberitahu media bahawa Suboh selaku saksi utama adalah 'jawapan' bagi membuktikan Najib tidak bersalah apabila pihak pembelaan melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi itu hari ini.

Pada tiga hari perbicaraan minggu lalu, Suboh, 68 bersetuju dengan pembelaan bahawa tandatangan ke atas 17 arahan bank antara 2014 dan 2015 telah dipalsukan.

Suboh juga telah memberi keterangan bahawa beliau tidak mengetahui transaksi berkaitan, yang melibatkan kebenaran pemindahan berjuta-juta ringgit yang dikaitkan dengan akaun SRC International, anak syarikat Gandingan Mentari, dan rakan kongsi program CSR, Ihsan Perdana, antara lain.

Bagaimanapun, keterangan saksi itu bahawa terdapat individu berkuasa di belakang Nik Faisal boleh lagi disoal oleh pihak pendakwaan semasa pemeriksaan semula terhadap Suboh hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS