Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin, Zahid nafi tandatangan SD sokong Anwar ganti Dr M
Diterbitkan:  Jul 7, 2019 9:16 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan membuat pengakuan bersumpah untuk menyokong Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Menurut gambar yang disebarkan, akuan itu bertarikh 2 Julai dan antara lain mengatakan mereka menyokong peralihan kuasa bermula tarikh tersebut dan akan "mematuhi apa sahaja keputusan yang diambil oleh Anwar" berhubung perkara itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya telah menandatangani satu dokumen akuan bersumpah mengenai peralihan jawatan perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar.

"Saya telah meminta polis agar menyiasat penularan dokumen palsu ini yang saya fikir bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya," kata Muhyiddin dalam kenyataan di Facebook.

Zahid pula menyifatkannya sebagai "fitnah jahat" oleh pihak yang mahu merosakkan reputasinya selaku presiden Umno.

"Saya tidak menandatangani surat berkenaan. Semua keputusan besar dan pendirian Umno akan dibuat secara berpasukan, bukan oleh saya secara individu," katanya di Facebook.

Mahathir sebelum ini berkata beliau akan berpegang kepada persetujuan untuk menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar tetapi tiada garis masa khusus yang ditetapkan untuknya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS