Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dikriminalisasi bukan maksud halal jual dadah - Bekas menteri
Diterbitkan:  Jul 7, 2019 12:09 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Bekas menteri kesihatan S Subramaniam menyambut baik keputusan kerajaan yang bersetuju melaksanakan dasar dikriminalisasi berbentuk rawatan dan pemulihan terhadap penagih dadah.

"Saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri apabila akhirnya mencapai kata sepakat untuk tidak menjadikan pengguna dadah sebagai pesalah jenayah, sebaliknya pesakit yang perlu dirawat (dikriminalisasi)," katanya pada suatu kenyataan di media sosial hari ini.

Subramaniam menjelaskan dasar dikriminalisasi yang "tidak menjadikan penagihan dadah suatu jenayah tidak bersamaan dengan menghalalkan penggunaannya daripada segi undang-undang."

"(Dasar ini) bertujuan untuk menyatakan kesalahan (menggunakan dadah) bukan suatu kesalahan jenayah tetapi masih berbentuk suatu sekatan, hukuman atau halangan," katanya lagi.

Beliau yang pernah mempengerusikan jawatankuasa antara Kementerian Kesihatan, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) mengenai pemulihan dan rawatan berkata dasar ini juga membezakan antara golongan penagih dan pengedar dadah.

"Penjualan dadah masih aktiviti jenayah dan dadah yang dijual serta digunakan juga salah daripada segi undang-undang.

"Pendekatan ini memperkukuh strategi pengedar dadah ialah penjenayah dan penagih dadah merupakan pesakit sosial yang memerlukan bantuan dan rawatan," katanya yang memberikan contoh keberkesanan dasar serupa yang telah diamalkan di Portugal.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada 24 Jun lalu berkata pelaksanaan dasar dikriminalisasi itu akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.

Katanya, penagih dadah di negara ini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Takrifan berkenaan dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan di pejabat KDN di Putrajaya yang bersetuju untuk melaksanakan dikriminalisasi terhadap penagih dadah.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS