Umno menegaskan kerjasama (ta'awun siyasi) antara parti itu dan PAS lebih penting untuk agenda penyatuan ummah berbanding menyertai Bersatu.
Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan orang Melayu tidak memerlukan parti lain melainkan Umno dan PAS.
"Orang Melayu tidak perlu ke PPBM (Bersatu). Parti terbesar Melayu hanya Umno dan PAS.
"Agenda ta'awun siyasi Umno-PAS jauh lebih penting untuk penyatuan ummah dan melampaui kepentingan politik," tulis Ahmad Zahid di Facebooknya, hari ini.
Kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai respon terhadap pelawaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyeru parti-parti berasaskan Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu.
Pengerusi Bersatu itu berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.
Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti itu perlu mengukuhkan kerjasama politik dengan PAS kerana ia langkah paling strategik.
Katanya, kerjasama itu diasaskan bukan untuk kepentingan politik semata-mata, sebaliknya demi kelangsungan bangsa Melayu dan kemakmuran Malaysia.
"Umno dan PAS akan membentuk kekuatan politik Melayu yang tidak pernah terjelma sebelum ini. Ia akan menjadi tsunami yang bukan sahaja akan menelan Bersatu, tetapi juga PH.
"Kepada (YAB Tun) Mahathir, seruan ke arah perpaduan Melayu adalah baik. Tetapi Umno telah lebih awal melakukannya dengan bekerjasama dengan PAS," tegasnya.
Tambahnya, perpecahan politik bangsa Melayu bermula apabila Mahathir menubuhkan Bersatu dan menjalinkan kerjasama politik dengan DAP.
"Umno dan ahli-ahlinya tidak akan menyertai Bersatu untuk selamanya. Umno adalah parti politik terbesar bangsa Melayu.
"Ia telah tujuh dekad menjadi jurucakap sebenar bangsa Melayu. Apatah lagi bila Bersatu itu lahir dari 'rahim' Umno," katanya.