Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chegu Bard: Rakaman CCTV bocor timbulkan tanda tanya
Diterbitkan:  Jul 6, 2019 8:28 AM
Dikemaskini: 1:13 AM

Rakaman litar tertutup (CCTV) yang bocor daripada sebuah hotel terkemuka di Sandakan, Sabah menimbulkan tanda tanya mengenai soal privasi pelanggan dan prosedur siasatan yang dijalankan pihak polis, kata bekas anggota majlis pimpinan PKR, Badrul Hisham Shaharin.

Dalam satu kenyataan semalam, Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata rakaman CCTV itu menggambarkan terdapat usaha terancang untuk menyerang Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, setakat ini, hotel bertaraf antarabangsa itu belum menjelaskan bagaimana rakaman CCTV itu muncul di dalam talian dan menjejaskan privasi pelanggan.

"Maklumat pelanggan dan rakaman CCTV tidak boleh didedahkan kerana ia adalah wajib bagi hotel untuk mengekalkan privasi pelanggan," katanya.

Beliau berkata kebocoran CCTV itu juga boleh menjejaskan siasatan polis terhadap video seks yang dikeluarkan pada 12 Jun yang dikatakan dirakam di hotel berkenaan.

Pada 3 Julai, individu bernama Rahim Jaafar memuatnaik klip video di saluran Youtube yang menunjukkan ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Hilman Idhām berada di hotel tersebut.

Rakaman itu kelihatan diambil dari CCTV di hotel terbabit. 

Menurut Free Malaysia Today hotel berkenaan "sedar" mengenai perkara itu, tetapi tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan polis masih berjalan.

Pada awal pagi 12 Jun lalu, Haziq membuat pengakuan dengan mendakwa dia merupakan individu dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Rakaman berkenaan disebarkan sehari sebelumnya dan beberapa lagi klip video muncul pada minggu-minggu berikutnya.

Klip video terkini itu yang pertama kali diterbitkan menggunakan akaun Rahim Jaafar, tidak memberikan sebarang petunjuk jelas sebaliknya mengambarkan Haziq dan Hilman tinggal di tingkat yang sama di hotel berkenaan.

Hilman adalah setiausaha politik Azmin di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Sementara itu, Chegua Bard yang merupakan seorang pemimpin PKR sehingga dipecat pada 2016, menggesa ahli-ahli politik Malaysia agar tidak menggunakan politik kotor sebaliknya bersaing secara sihat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS