Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budaya songsang, LGBT antara sebab Melayu tolak Bersatu - Annuar
Diterbitkan:  Jul 5, 2019 11:09 PM
Dikemaskini: 3:23 PM

Parti Bersatu bertanggungjawab terhadap penularan budaya songsang seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta idea liberal, dakwa Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Beliau berkata, itu antara sebab mengapa seruan agar orang Melayu menyertai Bersatu untuk membentuk perpaduan Melayu tidak akan dilayan kaum  berkenaan.

"Orang Melayu akan terus menolak Bersatu, kerana parti itu bertanggungjawab memecah-kecilkan orang Melayu semata-mata kerana persengketaan peribadi antara pemimpin tertentu.

"Bersatu juga bertanggungjawab terhadap menularnya budaya songsang, liberal, LGBT dan lain-lain yang semakin bebas," kata Annuar dalam satu kenyataan.

Sebab lain, kata Annuar adalah kerana parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu menggadaikan kuasa dan kedudukan Melayu kepada DAP termasuk menyerahkan jawatan-jawatan utama dalam kerajaan.

"Bersatu dilihat bertanggung jawab menggadai kuasa dan kedudukan Melayu kepada DAP, terutamanya posisi strategik seperti menteri kewangan, menteri penerangan, peguam negara dan menghakis hak bangsa Melayu," katanya.

Annuar dipercayai merujuk pelawaan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad agar semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Mahathir berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu Umno tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” kata Mahathir.

'Ahli Bersatu perlu hijrah ke bahtera Umno-PAS'

Annuar berkata, di Sabah dan Sarawak, parti pimpinan perdana menteri itu meneruskan agenda 'divide and rule' (pecah dan perintah) dengan merosakkan perpaduan Melayu dan Bumiputera.

Justeru katanya tiada sebab mengapa Umno perlu menyertai Bersatu kerana perpaduan ahli parti itu kini bersama PAS semakin "padu dan istiqamah".

"Penyatuan Melayu melalui Umno dan PAS bakal membentuk gelombang besar yang akan membersihkan kotoran dan sampah yang ditinggalkan sekutu DAP termasuk Bersatu.

"Orang Melayu tidak akan memaafkan perbuatan Bersatu menggadai hak serta posisi orang Melayu dan Bumiputera kepada DAP," kata Annuar.

Seeloknya tambah Annuar, ahli Bersatu berhijrah meninggalkan DAP ke 'bahtera Umno-PAS'  serta bersama menyahut muafakat nasional yang dipimpin gerakan orang Melayu.

"Bersatu bukanlah jawapan kepada cita-cita dan aspirasi perjuangan orang Melayu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS