Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan kembali teraju Umno Perlis, Mat Nadzari pengerusi S'gor
Diterbitkan:  Jul 5, 2019 7:18 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Anggota Parlimen Arau Shahidan Kassim kembali menerajui Umno Perlis selepas digantikan Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin tahun lalu.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dalam sidang media yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Manakala Anggota Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin kekal sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu.

"Saya diamanahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat pengumuman berkenaan pelantikan pengerusi badan perhubungan Umno negeri, khususnya Selangor dan Perlis.

"Ia selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan Umno. Presiden telah memutuskan jawatan pengerusi di kedua-dua negeri yang pada masa ini dipangku, akan diisi secara mutlak," katanya.

Untuk Selangor pula, Adun Batang Kali Mat Nadzari Ahmad Dahlan dilantik mengisi kekosongan kerusi pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor selepas Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob meletakkan jawatan pada Mei lalu.

Ketua Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin pula diumumkan sebagai timbalannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan untuk mengumumkan perkara itu, Annuar berkata pelantikan berkuatkuasa serta-merta.

Selepas pemilihan Umno 2018, tiga naib presiden iaitu Khaled, Ismail dan Mahdzir Khalid masing-masing dilantik untuk mengetuai Umno Perlis, Selangor dan Terengganu.

Zahid dilaporkan membuat pelantikan itu untuk menyusun semula pentadbiran Umno di ketiga-tiga negeri itu.

Sebelum itu Umno Perlis diketuai Shahidan manakala Umno Selangor oleh bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS