Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ratusan kanak-kanak di pusat tahanan’
Diterbitkan:  Jul 5, 2019 5:47 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Ratusan kanak-kanak dikurung di pusat tahanan imigresen yang kurang memaskan, dengan ada di antara mereka, akibat kesesakan, terpaksa ditempatkan bersama tahanan lelaki dewasa, kata aktivis hak asasi kanak-kanak Hartini Zainuddin.

Ini berlaku sejak lima tahun lalu di sebalik cadangan NGO agar kerajaan tidak menempatkan tahanan kanak-kanak yang tidak diiringi dalam pusat tahanan imigresen.

Hartini berkata di sebuah pusat tahanan yang dikunjunginya, budak lelaki berumur 12 tahun dan ke atas diletakkan di kawasan tahanan yang sama dengan lelaki dewasa, sementara kanak-kanak lain ditempatkan bersama dengan wanita dewasa.

"Keadaan sangat buruk. Mereka tidur di atas lantai. Di salah satu pusat tahanan yang saya lawati, kamu boleh terhidu bau hancing dari sebuah berek yang menempatkan 300 lelaki dewasa dan kanak-kanak.

"Tembok itu tinggi dan tingkapnya kecil. Tempat itu seperti kandang lembu, dan itu adalah pusat tahanan gred A yang saya kunjungi.

"Kamu boleh mencantikkan tempat itu jika mahu, tetapi hakikatnya kanak-kanak tidak sepatutnya berrada di sana," katanya.

Hartini berkata lazimnya, kanak-kanak ditahan bersama keluarga mereka, tetapi kes-kes mereka yang tidak diiringi itu bukanlah sesuatu yang ganjil.

Kanak-kanak yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atau mereka yang kerakyatannya boleh dikenalpasti mempunyai peluang lebih tinggi untuk dibebaskan, tetapi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berkemungkinan akan kekal dikurung.

"Jadi mereka terus tinggal di sana. Kadang-kadang mereka diusir (tanpa diiringi) tetapi dalam kes lain, apabila mereka tidak memiliki sebarang status kewarganegaraan, kita tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka," katanya ketika dihubungi.

"Kita juga mendengar kes-kes di mana kanak-kanak ini dihantar pulang ke negara-negara yang salah," katanya kepada Malaysiakini.

Imigresen: Keutamaan terhadap tahanan kanak-kanak

Selasa lalu, Jabatan Imigresen membebaskan dua kanak-kanak yang tidak diiringi yang telah ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil sejak 14 Jun.

Ibu mereka, yang mempunyai visa sah untuk kekal berada di Malaysia, tidak bersama anak-anak kecil itu ketika mereka ditangkap semasa serbuan Jabatan Imigresen di sebuah apartmen di Lembah Klang.

Kanak-kanak berkenaan kemudian dilepaskan dan dihantar pulang setelah campur tangan dari Kedutaan Filipina dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

Jabatan Imigresen berkata, keutamaan kini akan diberikan kepada kes-kes yang melibatkan kanak-kanak dan bukannya memproses tahanan mengikut tempoh penangkapan.

Terdapat 363 kanak-kanak asing di bawah usia 12 tahun yang kini ditahan di depot tahanan di seluruh negara.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS