Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengguna mungkin boleh pilih pembekal eletrik selain TNB
Diterbitkan:  Jul 5, 2019 12:00 PM
Dikemaskini: 4:00 AM

PARLIMEN l Kerajaan sedang meneliti dan mengkaji cadangan untuk membenarkan pembekal elektrik baru memasuki pasaran dan hasil keputusannya akan diketahui tidak lama lagi.

Jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan rancangan itu, ini bermakna Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan lagi menjadi pilihan tunggal untuk pengguna di Semenanjung Malaysia mendapatkan bekalan elektrik.

"Kementerian sedang meneliti dan mengkaji cadangan untuk membuka sektor peruncitan elektrik bagi membolehkan pengguna memilih pembekal elektrik selain daripada TNB," kata Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam satu jawapan bertulis parlimen bertarikh 3 Julai.

Soalan dikemukakan oleh Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin mengetahui sama ada sektor itu akan diliberalisasikan untuk mempromosikan tarif yang lebih kompetitif.

Kementerian berkata satu kajian sedang dijalankan untuk menentukan sama ada pembukaan pasaran runcit elektrik dapat memastikan perkhidmatan bekalan elektrik dapat disediakan pada kadar tarif yang lebih kompetitif untuk pengguna.

"Sehubungan dengan ini, kementerian dijangka membentangkan hasil kajian tersebut ke jemaah menteri dalam tempoh terdekat bagi membolehkan hala tuju industri pembekalan elektrik ditetapkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS