Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EU lihat minyak sawit ancam ekonomi mereka, kata MPOC

Kesatuan Eropah (EU) mengecam minyak kelapa sawit kerana melihat tanaman tersebut sebagai satu ancaman kepada ekonomi mereka, kata Pengarah Sains dan Alam Sekitar, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Dr Ruslan Abdullah.

Ruslan menjelaskan, ini dapat dilihat melalui pegangan saham yang dimiliki oleh kelapa sawit meningkat daripada 4 peratus kepada 31 peratus dalam masa 30 tahun sejak 1970.

Menurutnya, ini secara tidak langsung menyaksikan bahawa kelapa sawit telah mengambil alih pegangan saham oleh minyak utama yang dihasilkan Eropah seperti minyak jagung, bunga matahari, kacang soya dan biji sesawi.

“Jadi secara logiknya mereka akan cuba mengawal takeover marketshare ini daripada sawit," katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis forum “Navigating the Palm Oil Debate” anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Katanya, penambahan tahunan kawasan penanaman sawit dari 2013-2018 hanya sebanyak 2.7 peratus.

Dalam hujahannya ketika forum itu, beliau menyelar sikap Kesatuan Eropah yang mengklasifikasikan bahan api daripada minyak sawit sebagai tidak mampan.

Katanya, Malaysia mengeksport sekitar 1.9 juta tan setiap tahun kepada EU dan 40 peratus eksport itu digunakan sebagai biodiesel. 1.9 jut tan tersebut merupakan 800,000 tan metrik.

Beliau turut memberitahu bahawa Malaysia dan Indonesia ada mengadakan pertemuan dengan EU sebelum ini bagi membincangkan Akta Perwakilan mengenai kelapa sawit. Namun, laporan sebanyak 48 muka surat disediakan yang langsung tidak dipertimbangkan oleh EU dan gagal dicapai.

Ruslan berkata, beliau terbuka sekiranya peraturan yang ditetapkan oleh EU itu melalui proses rundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak.

Bahkan, katanya, alasan yang diberikan oleh EU bahawa tanaman kelapa sawit akan menyebabkan kepupusan kepada hidupan terancam seperti orang utan tidak benar, kerana Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah pemuliharaan hutan dan hidupan tersebut.

Katanya, meskipun kempen antisawit ini telah berlaku sejak sekian lama, namun negara menghadapi cabaran paling besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila cabaran tersebut disebabkan persepsi yang tidak benar.

Beliau berkata, kempen-kempen anti kelapa sawit ketika 1980-an sebelum ini kebanyakannya berdasarkan fakta mengenai kesihatan dan nutrisi, di mana Malaysia mampu menghadapinya.

“Jika anda lihat kepada semua publisiti yang memburukkan minyak kelapa sawit di media sosial dan di media arus perdana, ia semata-mata berdasarkan persepsi,” katanya yang turut merujuk kepada video pembunuhan orang utan akibat penebangan hutang untuk penanaman kelapa sawit.

Tambahnya, Malaysia sedang sedaya-upaya mengelakkan daripada minyak kelapa sawit negara dilabelkan sebagai tidak mampan serta diburuk-burukkan oleh EU, walaupun negara mula menerima peningkatan pasaran kelapa sawit melalui negara lain seperti Filipina dan negara Timur Tengah.

“Apa yang membimbangkan adalah EU sering dilihat sebagai trendsetter dalam polisi dunia. Apa-apa yang diperkatakannya akan diikuti oleh negara membangun,” katanya.

Biodiesel tidak akan menjadi masa depan?

Sementara itu, ahli Parlimen dari Jerman, Christoph Hoffman pula berkata, EU tidak meletakkan Malaysia atau minyak kelapa sawit sebagai sasaran, namun ia hanya lebih kepada memelihara hutan dan alam sekitar.

“Saya fikir ia hanya garis am yang kita fikir bahawa biodiesel tidak akan menjadi masa depan untuk enjin pengangkutan dan pembakaran.

“Ini kerana kami (Jerman) melalui proses yang sama dan kami mencubanya dengan ladang pertanian di Jerman untuk menghasilkan biodiesel tetapi itu bukan idea yang baik,” katanya kepada pemberita selepas forum.

Bagaimanapun, apabila diminta mengulas mengenai Akta Perwakilan EU yang dilihat sebagai berat sebelah itu, beliau setuju bahawa EU sewajarnya meneliti tanaman biodiesel lain yang turut menjurus kepada penebangan hutan.

“Saya rasa ia tidak begitu adil untuk meletakkan pertimbangan kepada biodisel lain dan ia perlu dilihat sebaik mungkin seperti kacang soya, di mana penebangan hutan juga dilakukan.

“Jadi mungkin, perundingan itu tidak cukup dan tidak dilakukan dengan betul. Tapi ia sudah tiba masanya untuk berbincang mengenainya semula,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS