Sekurang-kurangnya tiga pemimpin kanan PAS mengecam Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin, berhubung hantaran terbaru beliau di media sosial.
Menyentuh mengenai kesan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Najib Razak, Kadir mengulas mengenai keadaan semasa negara dan menegur seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kata Kadir, pensyarah tersebut - yang menggunakan nama Abdul Muein Abadi di Facebook - menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH.
Anggota Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali, berkata tindakan menekan ahli akademik yang tidak sependapat dengan kerajaan adalah budaya pihak berkuasa yang "kepanasan" selepas dikritik.
Khairuddin bertanya, adakah Kadir cuba menggunakan pengaruh politik untuk menekan ahli akademik yang berbeza pandangan walaupun baru setahun PH menjadi kerajaan.
"(Kalau) Tak bersetuju, sanggah sajalah dengan hujahan akademik.
"Bukankah beliau juga penulis yang cukup mahir mempengaruhi dan mengelirukan pembaca meskipun dengan hujah dangkal?
"Kalau dah lama menjadi kerajaan tak tahu apa berlaku nanti," katanya.
Jangan jawab macam Pak Pandir
Kecaman lebih keras disuarakan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Kata Idris, sebagai bekas pensyarah beliau agak marah dengan sikap ditunjukkan Kadir kepada pensyarah terbabit, dan hampir tidak percaya Kadir menulis hantaran sebegitu.
"Sebagai bekas pensyarah, saya tidak rela seorang ahli akademik dimarah kerana tulisannya.
"Kalau tidak betul, jawablah balik. Apakah Datuk hanya hendak melihat pensyarah menjadi pengampu sehingga menggadai taraf akademik yang tidak ada harga diri?
"Datuk hendak apa lagi? Tak cukup lagikah harta kekayaan yang dimiliki? Dari mana Datuk dapat, maka Datuk lebih ariflah," katanya.
Idris juga berkata pada era Malaysia Baru, Kadir tidak wajar mengambil tabiat "tidak baik" kerajaan BN dan menyarankan ahli akademik diberikan kebebasan bersuara.
"Jangan pula jawab, kerajaan dulu juga tidak memberi kebebasan. Jangan jawab seperti Pak Pandir, anak orang (pun ada) mati," katanya.
Anggota parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula memuat naik tangkap layar hantaran Facebook Kadir dan mengiringinya dengan kata-kata ringkas: "Saya berkongsi simpati..."
Kata Kadir, ahli akademik UKM itu menulis rencana bertajuk: “Eksklusif: 400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara” dan disiarkan beberapa portal termasuk Umno-Online dan ia kelihatan seolah-olah ada unsur konspirasi.
"Naib Canselor UKM ni nama dia Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor. Dia ni lantikan zaman kerajaan PH oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
"Punyalah baik kerajaan PH dan si Maszlee ni, maka turut dilantiknya bekas menteri kabinet Najib, Abdul Wahid Omar, untuk jadi pengerusi lembaga pengarah UKM.
"Jadi saya mintalah Maszlee bagi penjelasan dan pencerahan kalau dia baca blog kita ini. Takut-takut kita ni jadi mangsa mainan kayu tiga oleh the deep state," katanya.
Kurang profesional, matang
Sementara itu membalas tulisan Kadir itu, "Abdul Muein Abadi" mendakwa beliau diugut pihak tertentu selepas dituduh menabur fitnah dan menyebar kepalsuan.
Justeru, katanya, beliau meminta semua pihak menyemak sendiri fakta dan laporan yang digunakan sebagai rujukan bagi rencana yang disiapkannya itu.
"Kesemua laporan ini berdasarkan rujukan langsung dari portal utama seperti The Edge Markets, Reuters, Astro Awani, Deal Street Asia, The Malaysian Reserve, dan pelbagai portal berita arus perdana dalam negara.
"Adakah tuan penasihat media perdana menteri menuduh kesemua portal ini menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan? Jika ya, maka silalah ambil tindakan ke atas kesemua portal ini," katanya.
Beliau menambah sebagai penasihat media perdana menteri yang dihormati, Kadir perlu menjawab kesemua persoalan yang diajukan pensyarah universiti awam dengan matang dan profesional, bukannya bertindak mengeluarkan kenyataan di media sosial.
"Kurang manis apabila penasihat media perdana menteri ‘mengarahkan’ UKM dan Kementerian Pendidikan mepantau kualiti penghujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademik mereka di media sosial.
"Ini bukan sahaja kurang profesional dan kurang matang, tetapi juga bertentangan dengan prinsip kebebasan akademik yang dilaungkan pihak kerajaan selama ini," katanya.