Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan lulus jualan dua lot tanah DBKL - saksi
Diterbitkan:  Jul 4, 2019 5:42 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

KES KU NAN l Bekas Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ab Salim Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor telah meluluskan penjualan dua lot tanah seluas 4.048 ekar di Bandar Tun Razak kepada Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Ab Salim, 61, yang ketika itu merupakan Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, turut mengesahkan bahawa DBKL dengan kelulusan Tengku Adnan telah bersetuju untuk menawarkan penjualan tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur itu kepada syarikat itu.

"Saya merujuk surat JPEPP DBKL kepada Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan bertajuk "Permohonan Nilaian Tanah Milik Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur bertarikh 3 Jun 2015.

"Merujuk kepada surat ini saya sahkan pihak DBKL dengan kelulusan YB Menteri Wilayah Persekutuan pada 27 Mei 2015 bersetuju menawarkan kedua-dua lot berkenaan berkeluasan 16,386 meter persegi (4.048 ekar) kepada syarikat berkenaan," katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ketiga perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri siapakah yang dimaksudkan dengan YB Menteri Wilayah Persekutuan, saksi pendakwaan kesembilan itu menjawab, "Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor".

Ab Salim, yang kini telah bersara turut mengesahkan pihak Aset Kayamas juga berhasrat untuk membina satu blok pangsapuri mampu milik (427 unit) 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta beserta kemudahan penduduk dalam fasa pertama pembinaan.

"Dalam fasa kedua pula, syarikat itu bercadang untuk membina satu blok pangsapuri (632 unit) 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta beserta kemudahan penduduk manakala fasa ketiga, syarikat Aset Kayamas akan membina asrama Pusat Latihan untuk DBKL," katanya.

Ab Salim berkata, surat JPEPP DBKL itu telah disediakan oleh Razalia Khalid selaku pegawai yang bertanggungjawab menguruskan permohonan penjualan tanah kepada Aset Kayamas.

Saksi itu turut mengesahkan bahawa beliau selaku pengarah JPEPP telah menandatangani surat berkenaan yang kemudiannya dihantar ke pejabat Aset Kayamas.

Sementara itu, Pengurus Operasi Cawangan Hong Leong Bank Berhad, Cawangan Jalan Kenanga Yu Chong Shin, 38, mengesahkan terdapat pengeluaran wang dari akaun Aset Kayamas Sdn Bhd berjumlah RM2 juta melalui cek bernombor 136822, pada 14 Jun 2016.

Yu yang sebelum ini bekerja sebagai Pengurus Operasi Cawangan Hong Leong Cawangan Jalan Imbi mengesahkan bahawa akaun atas nama Aset Kayamas Sdn Bhd masih aktif sehingga hari ini.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata prosedur bagi pelanggan syarikat yang ingin membuka akaun semasa di Hong Leong Bank adalah pelanggan perlu mengisi borang permohonan membuka akaun dengan melampirkan dokumen yang diperlukan oleh pihak bank.

Beliau seterusnya mengesahkan dokumen butir-butir pelanggan syarikat Aset Kayamas bagi pembukaan akaun Hong Leong Islamic Bank yang bertarikh 18 Jan 2011.

Tengku Adnan yang didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan,  Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS