Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Hutang cecah RM800 bilion, syabas PH’
Diterbitkan:  Jul 4, 2019 1:09 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata hutang rasmi negara mencecah angka RM800 bilion hari ini.

“Idaman PH untuk hutang rasmi negara RM1 trilion semakin hampir,” sindir anggota parlimen Pekan dalam tulisan bertajuk “Syabas kerajaan PH!”

Najib turut berkongsi maklumat pengeluaran bon berjumlah RM3.5 bllion yang akan bermula esok dan mencapai tempoh matang pada 2034.

Ditambah dengan pinjaman RM4 bilion pada Khamis lalu, kata Najib, hutang rasmi negara hari ini naik ke RM800.8 bilion berbanding RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah BN.

Katanya, ini belum lagi mengambil kira duit RM82 bilion Petronas yang “dipaksa bayar” kepada kerajaan PH.

“Belum lagi ambil kira juga aset-aset negara yang telah dan sedang dijual secara lambak oleh mereka.

“Selepas pinjam dengan banyak tahun lepas, kerajaan PH terus menambah hutang negara untuk tahun ini dengan kadar yang jauh lebih pantas berbanding masa BN,” katanya.

Najib juga berkata dalam setengah tahun sahaja ini, PH telah meminjam RM77.8 bilion - RM70.5 bilion dari sukuk tempatan dan RM7.3 bilion bon samurai, Jepun - tetapi hanya membayar balik RM17.7 bilion sahaja.

“Sekarang, Guan Eng di China untuk kuat usahakan Bon Panda pula. Pinjam dari China.

“Kalau trend setengah tahun ini berterusan maka, kerajaan PH akan tambah lagi RM140 bilion kepada hutang negara untuk tahun 2019 sahaja.

“Silap-silap hutang rasmi negara boleh sampai RM900 bilion pada akhir tahun ini dan RM1 trilion pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Menurut laman web Bank Negara, sehingga suku pertama 2019, hutang negara berada pada paras RM776.8 billion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS