Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-32: Saksi, peguam bertikam lidah, keterangan didakwa sama dengan Ismee

KES NAJIB | Masuk hari ke-32 perbicaraan, pasukan peguam bela Najib Razak dijangka terus menumpukan pada pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin hari ini.

Saksi ke-42 itu akan berdepan dengan soalan peguam Harvinderjit Singh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pemeriksaan balas yang dilakukan peguam Muhammad Shafee Abdullah semalam menyaksikan Suboh menukar kenyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak tiga kali dalam siri rakaman keterangan yang dibuat pada 2015 dan 2018.

Suboh juga semalam berkata tandatangannya dipalsukan oleh ketua pegawai eksekutif SRC International ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil dalam meluluskan pemindahan jutaan ringgit melibatkan akaun syarikat, akaun syarikat subsidiari Gandingan Mentari, dan rakan usaha samanya Ihsan Perdana.

Saksi berumur 68 tahun itu juga semalam memaklumkan mahkamah bahawa tindakan Nik Faisal bukan saja kerana kedudukannya dalam syarikat tapi juga kerana mempunyai sokongan individu tertentu.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

 


5.30 petang: Pertikaian antara peguam Harvinderjit Singh dan Suboh Md Yassin tercetus berkenaan dakwaan persamaan antara satu perenggan dalam keterangan saksinya dengan keterangan saksi bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail.

Di hujung perbicaraan hari ini, keadaan tegang ketika Harvinderjit membangkitkan dakwaan persamaan itu.

Dia bertanya sama ada keterangan saksi Suboh memang kata-katanya sendiri. Soalan itu menyebabkan bekas pengarah SRC International itu menaikkan suaranya.

Menurut Harvinderjit, persamaan dilihat pada perenggan enam keterangan Suboh dan perenggan sembilan keterangan Ismee, dan mengatakan hanya satu perkataan yang berbeza, iaitu "turut".

Perenggan itu berkenaan komposisi lembaga pengarah SRC International dan pelantikan semua anggota lembaga oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Perenggan itu turut menyatakan semua anggota lembaga akan bertindak berdasarkan nasihat penasihat emeritus syarikat ketika itu - Najib.

Suboh: Mereka (timbalan pendakwa raya) tunjukkan kepada saya, saya tengok (ayat untuk rakaman keterangan saksi), dan saya puas hati dengan keterangan itu.

Harvinderjit: Tetapi anda tidak boleh sahkan ini (keterangan) adalah kata-kata sendiri.

Suboh cuba memberi penjelasan tetapi Harvinderjit berkata "terima kasih" dan menamatkan soal jawab itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengingatkan Suboh agar tidak membincangkan keterangannya dengan sesiapa sebelum perbicaraan diteruskan Isnin minggu depan.

Mohd Nazlan kemudian menangguhkan perbicaraan.


5.15 petang: Walaupun perkhidmatan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai CEO SRC International berakhir pada 2014, syarikat itu tetap mengekalkan kedudukannya sebagai pengarah eksekutif kerana hanya dia yang boleh membawa kembali pinjaman RM4 bilion yang diberi KWAP.

Perkara itu diberitahu bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Sejumlah besar daripada pinjaman itu telah dipindah ke luar negara yang dikatakan untuk pelaburan.

Lembaga pengarah pada mulanya menerima penjelasan Nik Faisal tentang apa yang berlaku kepada pinjaman itu pada 2011 dan 2012, tetapi kemudian merasa ragu dan mengarahkan Nik Faisal untuk membawa kembali dana tersebut ke SRC.

Harvinderjit: Walaupun tempoh Nik Faisal sebagai CEO berakhir dan (Mohammed) Azhar (Osman Khairuddin) mengambil alih (jawatan itu), peranan Nik (dikekalkan) untuk membawa kembali dana (RM4 bilion).

Suboh: Dia ada jaringan (contacts), sebab itu kami kekalkannya sebagai pengarah eksekutif.

Harvinderjit: Kerana syarikat berdepan kesukaran dalam hal dana (RM4 bilion) tanpa dia?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Walaupun dengan tindakannya menipu lembaga pengarah (berkenaan audit penyata kewangan), dia tidak lagi menjadi CEO, tetapi syarikat perlu mengekalkannya sebagai pengarah eksekutif kerana dia diperlukan.

Suboh: Sebab itu dia perlu dikekalkan.

Harvinderjit: Kalau bukan sebab itu, tak masuk akal untuk kekalkan seorang yang menipu (lembaga pengarah).

Suboh: Ya, kerana ia libatkan bilion (pinjaman RM4 bilion daripada KWAP).


4.04 petang: Bekas pengarah SRC International Suboh MD Yassin berkata dia tidak tahu akan hal berkaitan permohonan pinjaman pertama syarikat itu kepada KWAP berjumlah RM2 bilion, dan jaminan kerajaan terhadapnya.

Saksi ke-42 itu juga berkata dia tidak tahu berkenaan cubaan pertama 1MDB untuk mendapat geran bagi menubuhkan SRC International.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Anda tidak tahu (not familiar) berkenaan pinjaman KWAP sehinggalah ia diluluskan dan jaminan kerajaan diberi (pada akhir 2011)? Apabila anda sertai (lembaga pengarah SRC), perkara itu sudah pun selesai?

Suboh: Ya.


4 petang: Suasana serius di mahkamah hilang seketika apabila Suboh Md Yassin, 68 tahun, sekali lagi mengusik peguam bela Harvinderjit Singh yang jauh lebih muda daripadanya sama ada perlu berehat atau tidak.

Ia ketika Harvinderjit meneruskan pemeriksaan balasnya terhadap bekas pengarah SRC International itu berkenaan resolusi pekeliling pengarah (DCR) syarikat itu pada 2011.

Mungkin merasakan Harvinderjit agak penat, Suboh mengusiknya dengan bertanya "adakah anda perlu rehat".

Ramai yang hadir ke perbicaraan itu ketawa memandangkan ia kali kedua Suboh bertanya soalan itu kepada Harvinderjit hari ini.

Tidak lama kemudian, hadirin sekali lagi ketawa apabila Suboh sekali lagi menolak tawaran untuk meminta perbicaraan dihentikan sekejap.

DPP V Sithambaran: Datuk okey? Anda perlu rehat?

Harvinderjit: (Kepada Suboh) Saya okey jika Datuk perlukan rehat.

Suboh: Okey.

Harvinderjit: Okey untuk rehat?

Suboh: Okey (untuk) teruskan.


3.10pm - Mahkamah dimaklumkan bekas pengarah bukan eksekutif SRC Suboh Md Yassin bahawa dia hanya menandatangani apa saja resolusi pekeliling pengarah (DCR) yang diberikan kepadanya semasa dia berkhidmat di syarikat itu.

Suboh berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit, dan menambah bahawa ia adalah amalan syarikat berkenaan ketika itu.

Harvinderjit: Bagaimana ini (DCR) yang dihantar kepada anda? (merujuk kepada salah satu DCR yang diserahkan kepada mahkamah).

Suboh: Biasanya mereka akan memanggil dahulu, (bertanya) 'adakah anda boleh'?

Harvinderjit: Siapa yang akan memanggil anda?

Suboh: Setiausaha Nik Faisal.

Harvinderjit: Adakah anda berbincang dengan pengarah lain (pertama)?

Suboh: Saya tandatangan terus.

Harvin: Amalan biasa untuk semua DCR?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Mereka menunjukkan kepada anda dan anda menandatangani DCR?

Suboh: Betul

Harvinderjit: Adakah termasuk dokumen sokongan atau hanya DCR?

Suboh: Hanya DCR


2.53pm - Prosiding diteruskan.


12.36pm - Bekas perdana menteri Najib Razak akan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan berhubung ketetapan sama ada ahli parlimen boleh dikecualikan daripada menghadiri perbicaraan mahkamah bagi menghadiri persidangan parlimen.

Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali perkara itu sebelum prosiding berehat tengah hari tadi.

Permohonan itu adalah berhubung keputusan hakim Nazlan dua hari lalu yang tidak membenarkan Najib dikecualikan daripada prosiding agar ahli parlimen Pekan itu boleh menghadiri perbahasan di parlimen berhubung rang undang-undang pengisytiharan harta ahli parlimen.

Shafee memaklumkan mahkamah bahawa permohonan itu bukan rayuan terhadap hakim Nazlan, sebaliknya merupakan permohonan yang baru di Mahkamah Rayuan.

"Kerana tugas statutori sebagai ahli parlimen, kami tidak mahu membuat rayuan atas keputusan hakim (sebelum ini).

"Kami mahu ke Mahkamah Rayuan dan memfailkan permohonan baru, dan mungkin ke Mahkamah Persekutuan, untuk berhujah bahawa ahli parlimen perlu dikecualikan daripada perbicaraan mahkamahnya untuk menghadiri sidang parlimen," kata Shafee.

Shafee kemudian memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan meminta salinan keputusan hakim Nazlan pada Isnin lalu, bagi membantu pembelaan menyediakan afidavit permohonan kepada Mahkamah Rayuan.


12.35pm - Mahkamah berehat untuk makan tengah hari selepas hakim Nazlan membenarkan permohonan pasukan peguam Najib untuk ahli parlimen Pekan itu menghadiri taklimat di parlimen, yang dijadualkan 1.30 petang ini.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya perlu menghadiri taklimat itu kerana ia melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang dalam perlembagaan berhubung umur minimum pengundi.

Shafee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya perlu berada di parlimen sehingga pulul 2.30 petang, dan dijangka tiba di mahkamah semula pukul 2.45 petang.

DPP V Sithambaram berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan. Beliau bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dan memohon mahkamah agar tiada lagi penangguhan.

Hakim Nazlan berkata bahawa memandangkan tiada bantahan, mahkamah akan membenarkan permohonan Shafee dan mengarahkan prosiding disambung 2.45 petang dan akan tamat pada 5.30 petang.

Mahkamah berehat.


12.10pm - Bekas pengarah SRC International tidak tahu kewujudan akaun Ambank 736 yang menerima RM2 bilion pertama daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011.

Subuh memaklumkan perkara itu ketika disoal peguam Harvinderjit.

Harvinderjit: Berhubung akaun 736. Anda tidak tahu, anda bukan orang yang menandatangani akaun itu?

Suboh: Ya.

Saksi itu juga berkata dia tidak tahu tentang transaksi melibatkan akaun berkenaan.

Bukti lisan dari saksi lain sebelum ini menunjukkan bahawa RM2 bilion dimasukkan ke dalam akaun berkenaan pada 29 Ogos 2011.


11.45am: Pasukan peguam mempersoalkan pelantikan Ihsan Perdana sebagai rakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Mahkamah dimaklumkan bahawa Nik Faisal bukan lagi CEO dan pengarah urusan SRC International ketika syarikat itu melantik Ihsan Perdana sebagai rakan CSR.

Bekas pengarahnya, Suboh Md Yassin bersetuju dengan peguam Harvinderjit yang berkata perkhidmatan Nik Faisal tamat pada 11 Ogos 2014, sementara Ihsan Perdana dilantik sebagai rakan CSR pada Sept tahun itu.

Harvinderjit meneruskan pemeriksaan balas dengan menyoal Suboh berhubung dakwaan bahawa dia melaporkan terus kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.


11.30am - Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi hadir di mahkamah.

Zahid mengambil tempat duduk di hadapan, di belakang Najib.

Tidak lama selepas itu, presiden Umno itu keluar dari mahkamah.


11.20am - Suboh memaklumkan bahawa anaknya menyertai pasukan pengurusan projek SRC International pada Okt 2014.

Suboh yang merupakan bekas pengarah SRC International ketika itu berkata, anaknya, Sufian menyertai SRC International di bawah kepimpinan CEO baru, Azhar Osman Khairuddin.

Harvinderjit: Menurut minit mesyuarat pada Okt 2014, anda hadir (mesyuarat itu)?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Ada individu bernama Sufian bin Suboh, itu anak anda?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Dia serta pasukan pengurusan projek?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: (Di bawah) Azhar (Osman) Khairuddin, dia terlibat dalam dua projek, iaitu inisiatif arang strategik negara, dan saliran paip gas Sabah, betul?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Andak anda dilantik dalam pasukan pengurusan projek di bawah Azhar.

Suboh: Ya.


11.15am - Meskipun didakwa mempunyai sokongan yang kuat, Nik Faisal dipersoalkan oleh lembaga pengarah kerana dikatakan mengelirukan mereka berhubung penyerahan audit akaun syarikat bagi 2013.

Suboh bersetuju dengan tanggapan yang dilontarkan Harvinderjit.

Saksi ke-42 itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa meskipun mempunyai sokongan kuat (seperti didakwa SUboh semalam), Nik Faisal diminta melepaskan jawatan sebagai CEO dan pengarah urusan pada 11 Ogos 2014.

Harvinderjit: Merujuk kepada minit mesyuarat pada 11 Ogos 2014, Nik Faisal bukan lagi CEO SRC.

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Walaupun ada sokongan kuat di belakang. Siapa ambil alih?

Suboh: (Mohammed) Azhar (Osman Khairuddin).

Semalam, Suboh berkata Nik Faisal bertindak "berani" kerana mendapat sokongan orang tertentu.


11.10am - Suboh memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak tahu kenapa pelantikan Nik Faisal sebagai CEO SRC International dan pengarah urusan tidak diperbaharui pada 2014.

Suboh, yang merupakan bekas pengarah syarikat itu memberitahu mahkamah bahawa dia percaya lembaga pengarah SRC International membuat keputusan itu kerana tidak puas hati dengan Nik Faisal.

Harvinderjit: Adakah anda tahu bahawa pelantikan Nik Faisal sebagai CEO dan pengarah utusan ditamatkan ketika anda masih merupakan pengarah SRC?

Suboh: Saya sebenarnya tak tahu perkara itu terjadi.

Harvinderjit: Saya tak bercakap tentang dia melarikan diri. Tapi pada 2014, ketika lembaga pengarah memutuskan untuk tidak meneruskan peranannya sebagai CEO dan pengarah urusan, adakah anda tahu tentang perkara ini?

Suboh: Ya, ya.

Harvinderjit: Anda tahu tentang perkara ini? Apa sebab lembaga pengarah tidak meneruskan perkhidmatan Nik Faisal?

Suboh: Mungkin lembaga pengarah tak puas hati dengan dia.

Harvinderjit: Jadi anda tak pasti?

Suboh: Saya tak pasti sebab sebenar.


11.01am - Prosiding diteruskan.


10.37am - Hadirin mahkamah ketawa apabila Suboh bertanya sama ada peguam Harvinderjit mahu berehat.

"Anda mahu rehat? kata saksi berumur 68 tahun itu, yang menyebabkan peguam muda berkenaan.

Suboh berkata demikian selepas Harvinderjit bertanya kepadanya sama ada dia mahu rehat sebentar dari prosiding.

Tidak lama selepas itu, hakim Nazlan membenarkan rehat selama 10 minit.


9.45am: Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin memberitahu mahkamah bahawa dia tidak tahu pihak dalam pengurusan syarikat selain CEO dan pengarah urusannya ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil.

Memberi keterangan ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit, beliau berkata pasukan pengurusan itu dalam "jumlah kecil".

Harvinderjit: Adakah anda berjumpa pengurusan SRC selain Nik Faisal?

Suboh: Saya tidak tahu jika (SRC International) mempunyai pasukan pengurusan atau tidak. Hanya jumpa Nik Faisal. Saya tidak tahu siapa lagi dalam pengurusan. Mereka dalam jumlah yang kecil.

Bagi soalan lain, Suboh memaklumkan bahawa dia berjumpa beberapa individu lain di pejabat SRC International ketika menjadi pengarah syarikat itu, termasuk Terrence Geh, Radi Mohd dan Vincent Beng, namun Suboh tidak pasti jawatan atau tugas mereka.

Saksi bersetuju dengan tanggapan bahawa ketika menjadi pengarah syarikat itu, banyak perkara yang tidak jelas, termasuk peranan Nik Faisal.

Harvinderjit: Sama seperti Terrence Geh?

Suboh: Saya tak tahu apa peranam mereka.

Harvinderjit: Nik Faisal pun, anda tak tahu tugasnya?

Suboh: Ya.


9.16am - Peguam Negara Tommy Thomas memohon tarikh perbicaraan lanjut kes SRC International bekas perdana menteri Najib Razak yang dikatakan melibatkan dana RM42 juta.

Tarikh perbicaraan seterusnya adalah pada 15 Ogos.

Thomas memaklumkan hakim Mohd Nazlan bahawa ia perlu kerana mengambil kira tempo perbicaraan.

Menurut tarikh yang dipersetujui sebelum ini, kes berkenaan akan tamat pada 15 Ogos, sementara perbicaraan berasingan kes 1MDB Najib di hadapan Hakim Mahkamah tinggi Collin Lawrence Sequerah akan bermula pada 19 Ogos.

Hakim Nazlan memberitahu Thomas bahawa beliau terbuka untuk tarikh perbicaraan seterusnya pada September dan November, namun beliau sudah dijadualkan mendengar kes jenayah lain pada Oktober.

Thomas memaklumkan hakim Nazlan bahawa pihak pendakwaan akan menyemak dengan hakim Sequerah untuk mengosongkan tarikh 19 Ogos dari perbicaraan kes 1MDB.


9.15am - Prosiding bermula dengan Najib memasuki kandang tertuduh.


9.01am - Bekas perdana menteri masuk ruang mahkamah.

Najib dilihat berbincang dengan peguamnya, Harvinderjit Singh sementara menunggu perbicaraan dimulakan.

Turut berada dalam mahkamah adalah Peguam Negara Tommy Thomas, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram dan ahli lain pendakwaan.

 

[Laporan penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS