ULASAN | Pada 1 Julai, persoalan mengenai pelarian di Malaysia dijawab oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-14 di peringkat Parlimen.
Kebanyakan media di Malaysia membawakan topik bahawa majikan di Malaysia harus mengutamakan pekerja rakyat tempatan sebelum mengambil pelarian yang sah untuk berkerja di pelbagai sektor.
Menurut Dr Wan Azizah, pelarian yang sah merupakan pelarian yang memiliki kad khas Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Tambahan pula, timbalan perdana menteri juga menjelaskan pelarian tersebut hendaklah bukan di kalangan pelarian ekonomi.
Jawapan daripada timbalan perdana menteri amat dialu-alukan oleh pelbagai pihak yang prihatin dengan isu pelarian di Malaysia.
Selain itu, pihak kerajaan telah melaksanakan projek rintis seperti mengambil pelarian yang sah untuk bekerja dalam sektor perladangan Sime Darby Plantation Berhad serta Gardenia Bakeries.
Pelaksanaan tersebut adalah wajar bagi menggunakan tenaga kerja manusia untuk memajukan kegiatan ekonomi negara serta memberi bantuan kepada mereka atas nama kemanusiaan.
Apakah dasar undang-undang di Malaysia?
Malaysia tidak menjadi ahli yang menandatangani Konvensyen 1951 dan juga Protokol 1961 berkaitan pelarian sekali gus menjadikan Malaysia tidak mengiktiraf golongan ini.
Oleh itu, Malaysia tidak pernah mempunyai dasar berkenaan pelarian yang berada di Malaysia.
Pelarian di Malaysia yang mempunyai kad UNHCR atau tidak, mereka didefinasikan sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi pihak kerajaan.
Bagaimanapun, terdapat beberapa agensi tetap mengambil berat terhadap golongan pelarian tersebut.
Di samping itu, bantuan-bantuan kemanusiaan terhadap pelarian majoritinya dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau NGO tempatan, atau pertubuhan yang ditubuhkan oleh komuniti pelarian sendiri.
Janji ke-59 manifesto PH
Pada awal pengenalan janji tersebut, Pakatan Harapan (PH) mengkritik kerajaan BN yang didakwa hanya berpura-pura memberi bantuan kepada Palestin dan Rohingya sahaja.
Mereka juga mengecam tindakan kerajaan BN kerana tidak dapat memberi bantuan sewajarnya kepada golongan pelarian.
Tambahan, dalam janji tersebut PH menyatakan “mendepani usaha negara-negara serantau untuk menyelesaikan konflik Rohingya di Myanmar” (Pakatan Harapan, 2017, p.117) serta “membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat OIC dan PBB agar penyelesaian muktamad dapat dicapai”(Pakatan Harapan, 2017, p.117).
Lebih penting lagi, kerajaan PH juga menyatakan akan “meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 agar pelarian yang datang ke Malaysia untuk meyelamatkan diri dapat diberi bantuan sewajarnya”(Pakatan Harapan, 2017, p.117).
Menisfesto tersebut telah menunjukkan pendirian awal kerajaan PH terhadap isu pelarian di Malaysia.
Malangnya, tiada apa-apa tindakan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Bagi pihak yang memperjuangkan isu kemanusiaan seperti pertubuhan bukan kerajaan, mereka amat berharap agar kerajaan dapat mengotakan janji tersebut dalam masa terdekat.
Kad UNHCR
Berdasarkan undang-undang, Malaysia tidak mempunyai dasar yang menyatakan kad UNHCR merupakan dokumen yang sah untuk digunakan di negara ini.
Ini bermaksud golongan pelarian akan mendapat layanan sebagai PATI serta pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mereka secara sah.
Mengikut pengalaman sendiri, saya pernah berjumpa dengan orang Rohingya yang telah menduduki Malaysia lebih daripada 30 tahun lamanya.
Jadi, bagaimanakah beliau menjalankan kehidupan di Malaysia? Jawapannya, beliau bekerja dan hidup secara haram!
Kini, seramai 124,753 orang pelarian dan 48,978 pemohon suaka telah berdaftar dengan UNHCR.
Apakah tindakan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia apabila menerima kad UNHCR dari pelarian yang ditahan?
Adakah mereka dipenjarakan atau dilepaskan semula?
Untuk pengetahuan anda, kegiatan rasuah bukan sahaja berlaku antara pihak berkuasa dengan masyarakat tempatan, malah komuniti pelarian juga merupakan penyumbang utama terhadap masalah rasuah di Malaysia!
Kesimpulan
Krisis kemanusiaan yang melanda komuniti pelarian di Malaysia perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak-pihak terlibat.
Walaupun kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf golongan pelarian, namun nasib golongan ini masih mendapat perhatian melalui agensi-agensi tertentu.
Nasib kehidupan pelarian di Malaysia agak mencabar.
Penglibatan mereka dalam aktiviti yang sah atau tidak, tetap menjadikan aktivitinya haram kerana kewujudan mereka di Malaysia adalah tidak sah di sisi undang-undang.
ANN SIANG ialah pegawai perhubungan komuniti dengan Humanitarian CARE Malaysia Berhad (MyCARE).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.