Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Ahli tak mahu 3 jawatan tertinggi Bersatu dicabar

Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, mendakwa anggota akar umbi mahu agar tiga jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

“Sekarang, cakap-cakap yang kami dengar daripada ketua bahagian ialah, mereka cadangkan supaya tiga jawatan tertinggi parti - pengerusi, presiden dan timbalan presiden - tak dipertandingkan,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Untuk rekod pengerusi Bersatu ketika ini ialah Dr Mahathir Mohamad, manakala anggota parlimen Pagoh dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, bertindak sebagai presiden.

Mukhriz pula dipilih menjadi timbalan presiden.

Kata menteri besar Kedah itu ada kecenderungan yang ketara di peringkat bahagian yang tidak berminat melihat wujud pertandingan dalam pemilihan parti.

Kemahuan tersebut, kata Mukhriz, lebih ketara untuk jawatan pengerusi parti.

"Itu memang terang-terangan, kita semua masih mahu dia (Mahathir) sebagai pengerusi kami,” katanya lagi.

Mukhriz menambah, setakat ini beliau tidak mendengar ada sesiapa yang mahu mencabar Mahathir, dan pada masa sama bapanya itu masih berminat untuk mengekalkan jawatan berkenaan.

Sementara itu untuk dirinya sendiri Mukhriz berkata beliau akan mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden.

Mengenai pemilihan Bersatu, Mukhriz berkata, parti itu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 20 Julai bagi memastikan pemilihan tahun ini dapat dijalankan dengan lancar.

Tambahnya, antara perkara yang akan dibincangkan dalam EGM berkenaan ialah sama ada sistem undian seorang satu undi wajar diterima dalam pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Setakat ini perlembagaan Bersatu menetapkan bahawa kepemimpinan tertinggi parti harus dipilih melalui sistem perwakilan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS