Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno kalah sekali terbenam, sekali lagi mungkin tertimbus'
Diterbitkan:  Jul 1, 2019 9:59 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Usahlah bertempik di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra jika pemimpin atasan Umno enggan mendesak Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur daripada jawatannya sebagai presiden, kata bekas ketua hakim negara.

Dalam catatan terbarunya hari ini Abdul Hamid Mohamad berkata mengutamakan kepentingan Umno dan bangsa Melayu adalah keutamaan pemimpin parti terbabit.

Justeru, kata Abdul Hami, beliau sekali lagi menegaskan keyakinannya bahawa bekas timbalan perdana menteri itu tidak wajar kembali memimpin Umno jika mahu melihat parti itu dan masa depan orang Melayu dipulihkan.

Malah kata beliau Ahmad Zahid wajar mencontohi apa yang dilakukan Najib Razak.

"Jika beliau enggan berundur dengan sukarela, maka anggota Majlis Tertinggi (Umno) perlulah mengambil pendirian, diikuti oleh pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, malah bahagian-bahagian dan ahli-ahli Umno.

"Mereka hendaklah mengetepikan kepentingan diri dan memikirkan kepentingan parti dan bangsa Melayu," katanya.

Menurut beliau langkah itu menjadi ujian terbesar buat pemimpin dan ahli Umno.

Mungkin suara sumbang

Katanya daripada sikap yang ditunjukkan itu nanti barulah orang ramai boleh melihat untuk apakah pemimpin Umno berpolitik.

Abdul Hamid juga mengakui khabar bahawa Ahmad Zahid menamatkan percutiannya dan kembali memimpin Umno adalah berita yang "mengecawakan" beliau.

"Berita bahawa Ahmad Zahid menamatkan percutiannya dan kembali semula memimpin Umno sebagai presidennya sangat mengecewakan saya," katanya.

Ahmad Zahid mengumumkan percutiannya daripada tugas sebagai presiden pada 18 Dis tahun lalu selepas mendapat tekanan dari dalam dan luar parti ekoran kesnya di mahkamah.


Baca Sumber: Memang ada gerakan nak bawa Zahid kembali


Ekoran percutian itu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menjalankan tugas presiden parti.

Ahmad Zahid kemudian mengumumkan keputusannya menamatkan percutian itu semalam dan kembali mengepalai Umno. Perkembangan itu berlaku ketika kerjasama parti itu dengan PAS semakin akrab.

Keputusan itu dibuat ketika genap setahun beliau memenangi pemilihan Umno dengan mengetepikan pencabarnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Abdul Hamid berkata, beliau sedar gesaan agar Ahmad Zahid berundur adalah suara "sumbang" kerana lebih ramai yang menyambut baik kemunculan semula Ahmad Zahid.

"Mungkin saya suara sumbang dalam hal ini," katanya.


Baca Zahid hadapi 33 tuduhan terima rasuah RM42.7j dari Ultra Kirana


Beliau juga tidak kisah sama ada pandangannya itu akhirnya dibuktikan benar atau salah, sebaliknya menyerahkan kepada masa untuk menentukannya.

"Bagi saya, sama ada saya betul atau tidak dalam hal ini, tiada apa bezanya. Saya terlentang juga," katanya yang memang uzur sejak kebelakangan ini.

Namun dalam keadaan begitu Abdul Hamid tetap sekali lagi mengingatkan: "Kalah sekali sudah terbenam. Sekali lagi (kalah) mungkin tertimbus."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS