Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada lagi kilang kimia di Pasir Gudang pada masa depan

Sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baru di Pasir Gudang tidak akan diluluskan pada masa depan bagi memastikan pembangunan lebih lestari di kawasan terbabit.

Semasa menegaskan perkara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata perancangan itu dibincang bersama kerajaan negeri bagi memastikan Pasir Gudang membangun dengan lebih lestari pada masa depan.

“Perancangan (bandar) Pasir Gudang kena lebih lestari pada masa depan, kita tidak boleh luluskan lagi semua kilang kimia, tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas sesi townhall bersama pihak-pihak industri di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat 2,005 kilang di kawasan Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia.

“Melihat kepada perkara itu, hari ini kita mengadakan perbincangan dengan pihak industri untuk melihat langkah-langkah segera yang boleh diambil dan langkah-langkah yang turut kita persetujui ialah setiap sekolah akan diberikan alat ‘pengesan gas’ oleh pihak industri dengan menjadikan sekolah terbabit anak angkat.

“Ini bagi memastikan pihak sekolah dapat mengambil bacaan secara berterusan dan cikgu akan diajar untuk menggunakannya.

“Kita juga akan kita memastikan Jabatan Alam Sekitar menjadikan mandatori untuk kilang-kilang membekalkan pengesan gas ini dalam masa terdekat,” katanya.

Tiga sudah ditutup

Selain itu, Yeo juga akan membentangkan kertas kabinet mengenai pemasangan sistem pemantauan bahan cemar automatik di Pasir Gudang, Jumaat ini bagi mendapatkan peruntukan.

“Bermaksud, selepas ini di Pasir Gudang akan ada stesen sistem ini, di mana ia akan baca bacaan bahan cemar, bukan kualiti udara. Ini lebih spesifik dan rakyat Pasir Gudang boleh memeriksa secara dalam talian tahap bacaan itu,” kata beliau.

Pada masa sama, pihak industri juga diminta untuk memberikan data-data berkaitan yang boleh digunakan oleh pihak kementerian melaksanakan analisis loading capacity terhadap kawasan industri Pasir Gudang.

“Analisis loading capacity ini akan mengambil masa empat hingga enam minggu, selepas itu kita mungkin akan adakan syarat-syarat lebih ketat daripada apa yang sedia ada sekarang untuk industri di Pasir Gudang,” katanya.

Analisis itu bertujuan untuk mendapatkan jumlah data bebanan sisa yang telah dilepaskan pihak industri ke udara, sungai dan sebagainya.

Ditanya mengenai jumlah kilang yang ditutup operasinya sejak insiden sesak nafas Khamis lepas, Yeo berkata setakat ini, tiga kilang ditutup.

Di samping itu, lebih daripada 100 pemeriksaan telah dilaksanakan terhadap kilang-kilang di Pasir Gudang sejak peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac.

Mengenai bilangan mangsa terbaru dalam insiden sesak nafas pula, Yeo berkata, hari ini empat pelajar dari empat buah sekolah dirujuk ke hospital setelah didapati mengalami simptom sesak nafas, muntah dan pening namun tiada yang masuk wad.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS