Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim guna hadis palsu tolak isytihar harta?

ULASAN | Pada asasnya Islam amat menekankan isu integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam berpolitik. Apatah lagi, salah satu sifat utama Nabi Muhammad SAW ialah al-amin.

Zaman kini, ia disebut integriti.

Tidak bersedia mengisytihar harta adalah lambang bercanggah dengan sifat integriti yang sepatutnya. Apabila bercanggah dengan integriti, sudah pasti ia tidak selaras dengan sifat al-amin bagi nabi.

Dengan sebab itu, tidak wajar bagi mana-mana anggota parlimen yang beragama Islam menolak amalan mengisytiharkan harta.

Lebih-lebih lagi, amalan isytihar harta itu dapat mengelak daripada sebarang amalan rasuah membabitkan pihak yang berurusan dengan politik secara langsung.

Ia sudah pasti selaras dengan kaedah fikah yang berbunyi: "Tidak sempurna perkara wajib kecuali dengan melakukan perkara itu, maka melakukan perkara itu adalah wajib".

Dalam kata lain, jika tidak sempurna proses melawan rasuah kecuali dengan melakukan amalan isytihar harta, maka isytihar harta juga boleh dianggap sebagai wajib juga.

Ada perawi ditolak

Dalam pada itu, tidak dinafikan terdapat orang yang diragui sumber kekayaannya yang menolak cadangan dan amalan mengisytihar harta.

Hal itu kerana, dengan pengisytiharan harta ia akan membantu lagi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik yang diragui akan hartannya.

Amalan sebegitu sebenarnya sudah berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, iaitu ketika beliau melantik Abu Hurairah menjadi gabenor di Bahrain.

Dengan sebab itu, dakwaan bahawa Islam melarang isytihar harta itu adalah satu fitnah jahat dilakukan terhadap agama Islam yang mementingkan integriti.


Baca PAS: Isytihar harta boleh timbulkan rasa dengki


Pun begitu, dalam laporan berita dinyatakan bahawa Timbalan Presiden PAS ada berkata: "Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyuruh supaya harta yang ada tidak dihebahkan, kerana ramai pendengki."

Sebenarnya, hadis yang dinukilkan oleh Tuan Ibrahim itu adalah hadis palsu berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Jawzi.

Ia dianggap daif oleh al-Imam al-Iraqi dan al-Imam al-Sayuti, manakala Imam Ibn Abi Hatim menganggapnya sebagai mungkar.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Ia kerana dalam sanad hadis itu ada seorang perawi - Sa'id bin Salam al-Attar - yang ditolak. Dia juga ditolak oleh ramai ilmuan hadis, malah Imam Ahmad bin Hanbal menganggap dia sebagai pendusta.

Dari sudut sanad juga dicatatkan bahawa, perawi hadis daripada Muaz bin Jabal yang beliau diambil daripada Khalid bin Ma'dan.

Ibn Abi Hatim menyatakan bahawa Khalid tidak pernah mendengar hadis itu daripada Muaz. Apabila tidak mendengar, lebih mengukuhkan lagi dakwaan bahawa hadis berkenaan adalah palsu.

Dari sudut matan pula, dikatakan bahawa tidak boleh diberitahu kepada orang berkenaan nikmat yang kita dapat. Ini sudah pasti bercanggah dengan ayat al-Quran yang menyatakan: "Adapun dengan nikmat Tuhan kamu, hendaklah kamu ceritakan" (Surah al-Dhuha 93:11).

Dengan ini jelas bahawa 'fatwa' timbalan presiden PAS itu tidak berasaskan hujah yang benar. Apatah lagi dengan menyandarkan ia kepada Islam, ia boleh melahirkan persepsi buruk dari mata masyarakat non-Muslim terhadap agama Islam.

Ia akan menyebabkan Islam seakan-akan agama yang tidak cenderung kepada integriti.

Islam adalah agama yang pentingkan integriti. Dalam hal ini, sikap PAS sama sekali tidak mewakili ajaran Islam.

Sekian, wallahu 'alam.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS