PARLIMEN | Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk mendefinisikan semula istilah 'belia' sebagai golongan berumur di bawah 30 tahun melalui pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.
Syed Saddiq yang juga merupakan menteri kabinet paling muda, membentangkan pindaan itu bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika ini, Seksyen 2 akta berkenaan mendefinisikan 'belia' sebagai individu yang berumur 15 tahun ke atas dan tidak melebihi 40 tahun.
RUU pindaan itu menyatakan bahawa definisi 'belia' di bawah umur 30 ditetapkan di dalam Dasar Belia Malaysia dan selari dengan piawai antarabangsa.
"Rasional untuk merendahkan umur maksimum belia adalah bagi memastikan kelestarian kepimpinan masa depan untuk negara, mengurangkan jurang generasi dalam kalangan belia, menggalakkan proses kematangan belia dan mengurangkan sikap berisiko dalam kumpulan belia," kata keterangan yang disertakan pada RUU itu.
Pindaan yang dibentangkan kepada Seksyen 12 akta itu adalah berhubung dengan pemegang jawatan pertubuhan belia, dan ketetapan yang menghendaki mereka berada di bawah umur 30 pada masa pelantikan.
"Cadangan pindaan itu juga menuntut untuk memendekkan tempoh memegang jawatan sebagai ketua pertubuhan belia daripada enam tahun kepada empat tahun.
"tujuan pindaan ini adalah bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia untuk memegang jawatan, dan menggilap kepimpinan lebih ramai belia," kata kenyataan itu.
Dengan menurunkan umur maksimum, Seksyen 15 akta sama juga akan dipinda bagi menghilangkan kelayakan individu yang memegang jawatan apabila mencecah umur 30 tahun.
RUU itu bagaimanapun memberi pengecualian kepada individu 30 hingga 40 tahun yang dilantik atau dipilih memegang jawatan ketika ini. Mereka dibenarkan memegang jawatan itu sehingga tamat penggal perkhidmatan mereka.
Bacaan kedua dan ketika RUU itu dijangka dibentangkan kemudian dalam sesi parlimen kali ini yang akan berakhir 18 Julai.