Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib isi borang Umno untuk Kit Siang
Diterbitkan:  Jul 1, 2019 2:42 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Perseteruan antara Najib Razak dan Lim Kit Siang diteruskan lagi dengan gimik terbaru bekas perdana menteri itu mengisi borang keahlian Umno untuk pemimpin DAP berkenaan.

Malah, Najib menuliskan namanya sendiri sebagai pencadang dalam borang itu yang dikongsi di Facebooknya.

Untuk rekod, perlembagaan Umno ketika ini tidak membenarkan keahlian parti itu dari kaum lain selain Melayu.

"Umno nak luluskan keahlian dia atau tidak, saya tak boleh jamin.

"(Saya) bimbang permohonan MenHEN ditolak atas sebab dia kekurangan integriti dan kewarasan," katanya pada kiriman itu.

MenHEN merujuk kepada istilah parodi 'Menteri Hal Ehwal Najib' yang diberikan bekas presiden Umno itu kepada Lim.

Kenyataan Najib itu hadir selepas Lim mempersoalkan kepulangan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno selepas bercuti enam bulan.

Pemimpin veteran DAP itu mempersoalkan sama ada kepulangan Zahid adalah untuk menjadi proksi kepada Najib untuk membolehkan ahli parlimen Pekan itu dapat terus mengawal Umno.

"Adakah Zahid kini memimpin Umno untuk menunjukkan bahawa pemimpin Umno sudah menyesal dan bertaubat?

"Atau kembali selepas bercuti semata-mata tiada lain kerana 'Bossku' dengan dia memainkan peranan sebagai proksi "Bossku" kerana Najib rasa dia mungkin hilang kawalan Umno," soal Lim dalam kenyataan medianya hari ini.


Berita lain: Adakah Zahid kembali semata-mata kerana 'Bossku', soal Kit Siang


Dalam kiriman sama, Najib turut mengungkit bahawa Lim tidak menyahut cabarannya untuk berdebat sebelum ini.

"Selepas dia hilang sementara, MenHEN kembali lagi hari ini.

"Pagi ini, dia keluarkan kenyataan tuduh Zahid kembali bertugas di Umno adalah untuk menyelamatkan saya (dan), dakwa pengaruh saya dalam Umno telah hilang.

"Dan (mengatakan) kepulangan Zahid sebagai presiden adalah konspirasi saya untuk memulihkan pengaruh saya dalam Umno.

"Padahal ini ialah keputusan Zahid sendiri. Tiada kena-mengena dengan saya," katanya.

Tambah Najib, Lim sebelum ini pernah menuduhnya sebagai "Grand Mastermind" (dalang utama) di sebalik Umno selama ini.

"Sekejap kata saya sangat berpengaruh, sekejap kata saya hilang pengaruh. Tak pernah henti.

"Melainkan untuk seketika selepas dia lari dari debat. Tapi yang tak boleh dinafikan ialah hal ehwal Umno dan saya sangat dekat dengan hati dia.

"Kenapa perlu susah selalu sibuk-sibuk dari luar? MenHEN boleh terus masuk Umno je," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS