Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Mari kita belajar ilmu mengenai burung atau dalam bahasa Inggeris “ornithology”.

Untuk kali ini kita belajar mengenai tiga jenis burung, iaitu helang, pipit dan enggang.

Helang diklasifikasikan sebagai burung pemangsa atau dalam bahasa Inggeris “bird of prey”, iaitu burung yang mencari makan dengan membunuh, termasuk sesama burung.

Pipit pula adalah burung yang memakan bijirin dan serangga.

Enggang burung rimba memakan buah-buah jenis beri macam buah ara.

Helang ada banyak jenis. Begitu juga pipit dan enggang. Ada sejenis helang yang dipanggil helang pipit (besra) dan satu lagi dipanggil helang sewah (Japanese sparrowhawk).

Kedua-dua jenis helang ini berukuran kecil tetapi amat ganas memburu burung-burung yang lebih kecil daripadanya, termasuklah pipit.

Saya memberi makan burung liar di sekeliling rumah. Saya hidangkan bijirin dan pisang atau betik. Pisang dan betik yang saya hidangkan kepada mereka sama dengan pisang dan betik yang saya makan.

Banyak jenis yang datang – merbah, murai, kunyit kecil dan besar, ciak rumah, ciak tuli, merbuk, tekukur, gembala kerbau (mynah) dan ruak-ruak.

Burung pucung dan pekaka atau raja udang pun datang juga sebab saya ada kolam ikan yang saya biakkan ikan tilapia.

Ikan tilapia mudah membiak sebab ia jenis ikan yang menetaskan telurkan dan memelihara anak di dalam mulut (mouth breeder).

Oleh sebab ada burung di sekeliling rumah maka sekali-sekala kelihatan helang pipit dan helang sewah datang memburu.

Jadi bila ada orang yang menggolongkan dirinya sebagai helang dan orang lain sebagai pipit maka bagi seorang pengintai burung (birdwatcher), saya fahamlah pengertian tersurat dan tersiratnya.

Yang tersirat, si helang lebih tinggi kedudukannya daripada si pipit manakala yang tersurat, si helang menjadikan si pipit sebagai mangsa.

Ada unsur pemangsaan dalam ungkapan helang dan pipit itu. Dalam bahasa Inggeris, kita kata “predatory”.

Pengkaji burung menyifatkan helang sebagai oportunis atau mengambil kesempatan.

Misalnya, ada jenis helang yang bukan sahaja memburu tetapi turut memakan bangkai.

Ini termasuklah “bald eagle” (helang botak) Amerika yang lazimnya memburu tetapi memakan bangkai ketika musim sejuk apabila mangsa hidup sukar didapati.

Bagi kita, khususnya orang Melayu, yang faham adat resam, kita kata enggang sama enggang pipit sama pipit.

Itulah peribahasa yang kita gunakan. Kita tidak kata helang sama helang, pipit sama pipit.

Enggang tidak terbang bersama pipit dan enggang juga tidak memburu dan memakan pipit.

Helang memang tabiat semula jadinya memburu dan memakan pipit. Apabila tidak ada pipit untuk diburu dan dimakan, helang sanggup makan bangkai.

Itulah ajaibnya kejadian Tuhan untuk kita pelajari dan dijadikan teladan serta sempadan.

Janganlah kita jadi nelayan bodoh yang cuba menguji lautan dalam dengan kail panjang sejengkal.


A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk yang sama. Pandangan penulis tidak semesti mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS