Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengakui tersinggung dengan cara penulisan laporan media yang menurutnya terlalu memberikan keutamaaa kepada proses peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Anwar berkata tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha melaksanakan janji yang dibuat serta agenda perjuangan dalam PH kepada rakyat, dan menurutnya beliau sendiri tidak pernah mengingati mempunyai percanggahan atau pertembungan dengan Dr Mahathir berhubung soal peralihan kuasa seperti yang ditafsir oleh pihak luar.
"Saya kadang-kadang rasa tersinggung juga kerana dalam penulisan itu, soal penting adalah Dr Mahathir untuk Anwar… soal peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada saya ini menjadi masalah kepada banyak orang tetapi ia tidak jadi masalah kepada saya.
"Bagi saya apa yang penting adalah PH itu tetap kepada landasannya menjaga demokrasi, menjaga kepentingan rakyat, banteras rasuah, dan elak daripada penyalahgunaan kuasa," kata Anggota Parlimen Port Dickson itu dalam ucapan perasmian Wisma Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang di Bayan Baru hari ini.
Sementara itu, Anwar turut menafikan terdapat sebarang pepecahan di dalam PH seperti mana yang ditafsir dalam laporan media.
Katanya, beliau musykil kerana penjumpaannya dengan barisan pemimpin di beberapa negeri tidak mempunyai masalah sedemikian.
- Bernama