Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Zahid boleh kembali terajui Umno tanpa persetujuan MT

Bekas presiden Umno Najib Razak berkata presiden Umno yang sedang bercuti, Ahmad Zahid Hamidi boleh kembali menerajui parti jika dia mahu biarpun tanpa persetujuan pihak lain, termasuk Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Kata Najib, keputusan sama ada Zahid mahu kembali atau pun tidak adalah terpulang sepenuhnya kepada presiden Umno itu sendiri.

“Soal kedudukan Zahid, boleh diputuskan oleh Zahid sendiri. Sebab dia bercuti atas keputusan yang dibuat secara peribadi dan sebagaimana yang kita tahu, mengikut perlembagaan Zahid berhak untuk memimpin Umno dalam tempoh dia diberi mandat.

“Dan tempoh itu masih berterusan.

“Jadi oleh itu soal dia nak kembali berkhidmat atau bertugas sebagai presiden parti adalah tertakluk kepada keputusan diri dia sendiri, tak perlu persetujuan MT atau pihak-pihak yang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka ‘Raya Bersama Bossku’ di Laman Kayangan, Shah Alam semalam.

Najib berkata demikian sebagai mengulas laporan yang mengatakan Zahid kini sedang menilai respons daripada akar umbi parti sebelum membuat keputusan untuk kembali menjalankan tugas selepas lebih enam bulan bercuti.

Menurut smber, ada desakan daripada ketua Umno bahagian yang mahu Zahid kembali menerajui parti, namun Zahid dikatakan mahu terlebih dahulu melihat mood sokongan sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Ditanya pemberita tentang pandangannya berhubunf sokongan akar umbi terhadap Zahid, Najib berpendapat Zahid sendiri perlu memantau keadaan tersebut.

“Zahid kena pantau. Tapi bercakap soal perlembagaan, dia berhak kembali,” tambahnya lagi.

Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas-tugas presiden pada 18 Disember tahun lepas bagi menyelamatkan Umno daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.

Sejak itu, tugas-tugas presiden diserahkan kepada timbalan presidennya, Mohamad Hasan.

Zahid kini sedang berdepan dengan 87 pertuduhan di mahkamah berhubung kesalahan rasuah, pengubahan wang haram, dan pecah amanah.

Terdahulu, rumah terbuka tersebut turut dihadiri oleh isteri Najib, Rosmah Mansor serta anak-anaknya, Riza Aziz, Najwa Najib dan Ashman Najib.

Dalam majlis itu, Najib memperuntukkan lebih dua jam untuk memberi peluang kepada semua pengunjung yang beratur panjang untuk mengambil gambar kenang-kenangan bersamanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS