Menteri Pakatan Harapan (PH) harus menyantuni penjawat awam sebagai rakan dan bukan sebagai musuh mereka, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.
Bercakap dalam sebuah forum di Petaling Jaya hari ini, anggota parlimen wanita paling lama berkhidmat itu berkongsi kisah beliau dijemput memberikan ceramah kepada anggota kabinet, timbalan menteri, isteri dan pegawai mereka pada Disember tahun lepas.
Rafidah, yang terkenal dengan jolokan "Iron Lady" kerana pendirian tegasnya di meja rundingan antarabangsa, berkata beliau telah menasihatkan mereka untuk tidak bersikap ego selepas memenangi pilihan raya.
Katanya nasihat ittu diberikan kerana beliau percaya kuasa dan jawatan telah mengaburi mata beberapa orang menteri.
"Saya berikan apa yang saya fikirkan yang mereka (menteri) perlu tahu. Saya beritahu mereka tahniah kerana jadi menteri, kerana membentuk kerajaan baru tapi jangan angkuh.
"Itu adalah ayat pertama saya (semasa ceramah)," kata Rafidah semasa sesi soal jawab selepas forum yang dianjurkan oleh NGO Gerak dan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Beliau menjawab soalan hadirin mengenai dakwaan bahawa penjawat awam tidak memberikan kerjasama kepada menteri-menteri yang baru dan membantu tugas mereka.
Katanya, para menteri kabinet juga perlu mengambil contoh daripada apa yang berlaku kepada ahli-ahli politik yang korup.
"Saya katakan kamu jangan bergaul dengan kroni. Dekati diri kamu dengan penjawat awam yang tahu buat kerja dan boleh beri nasihat kepada kamu.
"Bukan orang-orang ini (menteri) tidak diberitahu. (Tetapi) sesetengahnya degil," katanya.
Tambah beliau, penjawat awam tidak boleh dibenarkan menyimpang daripada tugas mereka tanpa mengira kekananan mereka.
"Mereka sepatutnya membimbing menteri jika mereka baru atau bodoh," tambahnya.
Sebelum ini, timbul isu bahawa menteri PH tidak mendapat kerjasama yang baik dari kalangan penjawat awam selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pada tahun lalu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, pihak-pihak tertentu termasuk dalam perkhidmatan awam, tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan baru memerangi rasuah.