Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM turut siasat akaun Azmin sebelum jadi menteri
Diterbitkan:  Jun 28, 2019 9:07 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata mereka menyiasat akaun persendirian Menteri Hal Ehwal Ekononi, Azmin Ali, sehingga ke tempoh beliau masih menjadi menteri besar Selangor.

Hasil siasatan tersebut, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dakwaan yang melibatkan Azmin dengan salah guna kuasa bersifat tohmahan.

Katanya anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam mendakwa ada transaksi meragukan oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun peribadi Azmin Ali.

Selain itu, kata Azam, Lokman juga mendakwa terdapat kewujudan sebuah akaun di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.

"SPRM telah menjalankan siasatan dan mendapati tidak wujud transaksi yang dinyatakan dan tiada kewujudan akaun yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam merujuk kepada surat layang ditulis seseorang yang menggunakan nama "Toyol of Selangor" dan mendakwa Azmin memiliki wang bernilai ratusan juta dalam pelbagai mata wang dan disimpan dalam 54 akaun bank di Malaysia, Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, Abu Dhabi, Australia, Zurich dan AS.

Dakwaan dibuat terhadap timbalan presiden PKR itu pada 2018 adalah berasingan daripada deposit AS$741,000 yang dicatatkan dari akaun Maybank milik UEM Group ke akaun Deutsche Bank Azmin, yang dokumennya diedarkan bersama video seks dikaitkan dengan anggota parlimen Gombak itu sebelum ini.

Rabu lalu SPRM membersihkan Azmin daripada transaksi UEM itu selepas mendapati akaun bank dalam dokumen yang dipaparkan sebenarnya tidak wujud.

Maybank dan UEM Group juga menafikan kewujudan akaun bank tersebut dan mendakwa dokumen yang ditunjukkan itu adalah palsu.

SPRM berkata mereka turut menyiasat tulisan berkaitan Azmin Ali yang bertajuk "Here is the proof Azmin Ali is toyol of Selangor" dengan satu daripada laporan mengenainya pernah diterima pada Ogos 2018.

"Berhubung dengan isu ini, siasatan tersebut dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan lain, dan didapati tohmahan yang dibangkitkan itu adalah tidak benar.

"Diharap kenyataan ini akan dapat memberi pencerahan kepada orang ramai," katanya.

Azmin berkhidmat sebagai menteri besar Selangor dari Sept 2014 hingga Jun 2018.

Beliau dilantik menjadi menteri kabinet selepas PH berjaya menawan Putrajaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS