Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin hari ini secara tidak langsung mencabar Dr Nik Zawawi Salleh untuk membicarakan kewajaran Ketua Ulama Pusat PAS itu mewajibkan penyokong mereka menjatuhkan kerajaan PH.
Meskipun tidak menghubungi Nik Zawawi mengenai hasratnya itu, Wan Ji yang juga bekas anggota Dewan Ulama PAS Selangor mengharapkan supaya ada badan bebas atau stesen televisyen yang rela menganjurkan dialog tersebut.
“Saya tak ada jumpa atau telefon dia. Cuma saya cakap secara umum," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu Wan Ji memuat naik hantaran di Facebooknya dengan menyatakan kesanggupan bersemuka dengan Nik Zawawi.
"Saya bersedia sahaja kalau Dr Nik Zawawi bersedia," katanya mengiringi tangkap layar seorang pengguna Facebook yang menyatakan kesediaan bosnya bertemu dengan mana-mana pihak berhubung ucapan anggota parlimen Pasir Puteh di hujung muktamar PAS baru-baru ini.
"Dengan syarat dialog tersebut mesti dibuat secara terbuka dan secara langsung," kata pengguna Facebook berkenaan.
Turut dipaparkan ialah gambar Nik Zawawi yang duduk di kerusi belakang sebuah kenderaan.
Pada 23 Jun lalu Nik Zawawi menegaskan bahawa wajib untuk PAS menjatuhkan kerajaan PH dan tiada sebarang khilaf mengenai kedudukan itu.
"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," katanya yang kemudian disambut laungan takbir.
"Perkara ini kita jangan khilaf... jangan khilaf. Kita bergerak ke depan, jangan kita banyak menoleh ke belakang," katanya.
Menurut Wan Ji, beliau bersedia berdebat atau berdialog dengan Wan Zawawi bagi mengetahui apa rasional pemimpin PAS terbabit meletakkan hukum sedemikian.
Pengarah akademik Saudara Research Centre itu juga berkata dia bersikap terbuka jika ada badan-badan tertentu ingin berdebat mengenai isu yang disuarakan Nik Zawawi.