Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Lebih baik untuk Malaysia Airlines Bhd “berkahwin” dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin hari ini.

Beliau mengambil perhatian bahawa AirAsia pernah "berkahwin” dengan Malaysia Airlines sebelumnya, merujuk kepada perjanjian pertukaran saham mereka pada 8 Ogos, 2011. Perjanjian itu tidak bertahan lama, ditamatkan lapan bulan kemudiannya.

“Apabila perceraian itu berlaku tidak lama kemudian, Malaysia Airlines semakin teruk. AirAsia dilihat terus berada dalam keadaan ‘gila talak’ kerana diketahui bahawa ia masih berminat dengan Malaysia Airlines,” kata Kadir dalam catatan di laman Facebook beliau.

Oleh itu, adalah lebih baik '’berkahwin'’ dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama itu berkubur, katanya.

“Namun saya faham bahawa terdapat pelamar yang lain. Saya tidak dapat katakan sama ada mereka lelaki sejati atau hanya mat jenin. Apa juga kemungkinan kesnya, rayuan saya adalah jangan biarkan nama Malaysia Airlines berkubur,” tegasnya.

Meskipun kerajaan dan pembayar cukai mungkin tidak mampu lagi untuk terus kehilangan wang ke atas Malaysia Airlines, “ini tidak bermakna gulung tikar adalah satu-satu jawapannya,” katanya.

Beliau memberi bayangan bahawa syor telah dibuat kepada kerajaan untuk Malaysia Airlines ditutup.

“Saya kata, jangan terlalu cepat. Ini tampak sebagai jalan keluar yang mudah. Saya menghidu sesuatu yang kurang menyenangkan. Malah mencurigakan,” katanya.

Malaysia Airlines, katanya, merupakan nama hebat yang diiktiraf seluruh dunia, dan terdapat banyak jalinan muhibah yang terikat padanya. Ia adalah jenama yang mempunyai “nilai kewangan agak besar”, katanya.

Kadir turut menegaskan bukan sesuatu yang memalukan untuk menjualnya.

“Malah negara kaya seperti Switzerland dan Belanda menjual syarikat penerbangan kebangsaan mereka kepada syarikat penerbangan asing -- masing-masing kepada Lufthansa dan Air France. Malaysia Airlines telah menjalin perkongsian dengan banyak syarikat penerbangan asing sama ada menerusi usaha sama atau perkongsian kod, yang terbaru adalah dengan Japan Airlines dan Singapore Airlines,” katanya.

Bagaimanapun, menutup Malaysia Airlines malah akan mewujudkan duopoli oleh AirAsia dan Malindo Airways, tegasnya.

“Tiada satu daripadanya dapat mengisi kekosongan itu kerana model perniagaan mereka adalah berbeza daripada Malaysia Airlines,” kata Kadir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS