Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan memperjelas penyelesaian dalam kes guru merotan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Iskandar Puteri susulan pertemuan yang diadakan hari ini.

Menurut Aminolhuda, guru tersebut akan dibawa mengikuti sesi kaunseling.

"Kita bawa dia pergi kaunseling. Guru kalau mahu ambil tindakan tidak boleh ikut emosi, kena bertindak bijak.

"Walaupun mungkin pelajar buat salah, tapi cikgu kena berhati-hati ambil tindakan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Aminolhuda berkata pelajar tersebut juga tidak akan dikenakan tindakan, sebaliknya akan dibimbing sebaik mungkin, apatah lagi dia mewakili sekolah dalam sukan bola tampar.

"Kita tidak akan ambil tindakan atas murid. Bahkan kita bagi peluang dan sokongan kepada murid untuk terus belajar. Saya minta supaya pelajar ini yang bagus dalam sukan diminta dibimbing dengan sebaik mungkin.

"Dia kata wakili sekolah dalam bola tampar," katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata guru, ibu bapa dan pelajar perlu saling menghormati.

"Pada pihak ibubapa dan anak-anak belajar, kita kena hormati cikgu umpama ibu bapa yang didik kita.

"Bila hadapi ibu bapa kita kena sopan jangan cakap tidak baik, kalau kita bercakap tidak baik dengan papa mama, tentu papa mama pun marah kita.

"Jadi kena hormati cikgu (juga)," katanya.

Menjelaskan lanjut, Aminolhuda berkata guru tersebut setuju untuk membimbing pelajar tersebut dengan baik

"Saya minta guru bahasa itu supaya dia didik pelajar tersebut macam anak angkatnya. Guru itu pun ok dan akan bimbing," katanya.

Hari ini suatu pertemuan tertutup berlangsung selama sejam di antara ibu dan pelajar perempuan itu dengan guru berkenaan bersama Jabatan Pendidikan Johor di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Johor Bahru.

Selain Aminolhuda turut hadir pertemuan itu ialah Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Shaharuddin Saari.

Sementara itu, Aminolhuda juga meminta semua pihak supaya tidak memanjangkan lagi isu tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS