Senarai terbaharu individu dan entiti yang terlibat dalam kes permohonan perlucutan hak sivil berkaitan dana 1MDB yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan dikeluarkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu lagi.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya memerlukan masa untuk membuat penelitian lanjut mengenai saksi, lokasi aset dan pelbagai aspek lain memandangkan senarai responden itu terlalu panjang.
“Kami perlu tengok balik dan menyenarai pendek dahulu nama-nama yang kami ada ini sebab ada banyak perkara perlu dibincang dengan pegawai penyiasat dan pihak peguam negara. Yang mana boleh diambil tindakan undang-undang, kami akan lakukan,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 23 Bil 1/2018 dan Kursus Peralihan (Pengurusan dan Profesional) Siri 4/2019, di Banting hari ini.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan anggaran jumlah individu dan entiti yang bakal menerima saman itu, namun menyarankan mana-mana pihak yang pernah menerima dana berkenaan supaya memulangkannya semula.
“Sebenarnya, mereka sendiri tahu yang mereka ada terima wang (dana 1MDB) kerana ia diberi dalam bentuk cek, bukan secara tunai.
“Nasihat saya, eloklah mereka pulangkan semula (dana 1MDB) sebab tindakan undang-undang yang boleh dikenakan kepada mereka adalah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” katanya.
Semalam, Azam dilapor berkata lebih banyak lagi saman itu akan dikeluarkan susulan suruhanjaya berkenaan telah memfail saman terhadap 41 individu dan entiti pada minggu lepas bagi mendapatkan kembali RM270 juta dana 1MDB.
- Bernama