Paling Popular
Terkini

Kaedah pengurusan peneroka Felda sebelum ini mengutamakan tanaman sendiri adalah suatu kesilapan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau keadaan itu menjejaskan pendapatan yang diperolehi daripada hasil tanaman masing-masing dan ia akhirnya membawa peneroka terus berharap kepada subsidi kerajaan.

Kata Mahathir peneroka sepatutnya bekerjasama dengan pengurus ladang untruk membolehkan tanah lebih besar diusahakan, sekali gus menjana keuntungan tinggi.

“(Di) Felda itu tersilap. Kerajaan bercadang membuat estet besar yang di dalamnya setiap peneroka akan memiliki 10 ekar tanah. Kalau ada 1,000 ekar, ada 100 orang.

“Tetapi saya dapati bahawa ini tidak dilakukan. Masing-masing mengurus estetnya sendiri yang seluas 10 ekar.

"Ianya tak cekap dan ianya tidak ada modal... Kena ada modal juga kalau nak urus estet," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Dasar Pembangunan Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, dan timbalannya R Sivarasa.

Mahu satu dua ribu ekar

Perdana menteri berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perbezaan tanaman cantuman dan konsep tanaman Felda.

Menurut beliau apabila peneroka menguruskan ladang yang kecil, pendapatan yang diperolehi mereka adalah rendah.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahathir menggalakkan petani dan peneroka Felda membuat tanaman cantuman yang menurutnya boleh menjana hasil pendapatan lebih besar.

“Kawasan yang kecil ini tak boleh memberi hasil yang mencukupi oleh pemiliknya untuk tanggung sara hidup petani-petani.

“Selagi kita ada kawasan kecil ini, selagi itulah petani kita akan terus miskin dan perlukan bantuan subsidi daripada kerajaan.

“Kita tahu estet besar lebih berjaya dan menguntungkan. Selagi kita ada tanah dua, tiga ekar ini diuruskan petani, selagi itulah mereka miskin," katanya.

Sebab itulah, tambah Mahathir, tanah pertanian yang kecil itu perlu dicantumkan menjadi lebih besar.

"Bukan satu atau dua ekar tapi 1,000 atau 2,000 ekar,” katanya dalam ucapan tersebut.

Katanya, ia mampu dilakukan walaupun akan mengambil sedikit masa untuk menjayakannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS