Paling Popular
Terkini

Tiada penangguhan dalam pemilihan Bersatu, sebaliknya ia wajar diadakan lebih awal, kata pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada media di Putrajaya hari ini Mahathir berkata penangguhan pemilihan itu hanya akan menjejaskan perkembangan Bersatu.

“Tak tangguh (pemilihan).

“Kita (Bersatu) berpendapat, amat penting untuk kita mengadakan pemilihan lebih awal kerana didapati pentadbiran sekarang ini berasaskan kepada pemimpin yang dilantik," katanya.

Beliau yang juga perdana menteri berkata orang yang dilantik untuk menjalankan urusan parti kadang-kadang gagal mengembangkan Bersatu.

Terdahulu Mahathir diminta mengulas mengenai laporan portal The Malaysian Insight hari ini yang melaporkan bahawa pemilihan Bersatu akan ditangguhkan.

Alasan penangguhan itu, kata sumber, bagi memastikan semua cawangan Bersatu dapat didaftarkan secara sah untuk mengelakkan ia berdepan dengan tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurut laporan portal berita tersebut, pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun ini dipertimbangkan untuk ditangguhkan antara enam hingga 12 bulan.

Namun, salah seorang sumber yang dipetik itu secara khusus menyebut bahawa kemungkinan pemilihan itu ditangguh sehingga 18 bulan.

Menurut laporan itu lagi, penangguhan itu perlu dibuat melalui pindaan perlembagaan kerana - tidak seperti parti politik lain - Bersatu tidak menyatakan ruang untuk pemilihan parti itu ditangguhkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS