Keluarga aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh tidak bersetuju dengan pemilihan anggota pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat kehilangan mereka.
Mereka antara lain mengecam pelantikan bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM Mokhtar Mohd Noor, dan berkata anggota polis yang terlibat dalam inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini tidak sepatutnya dilantik.
Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin mendakwa unit Mokhtar "terlibat dalam sisatan penuh kelemahan terhadap penculikan Amri dan dalam pasukan yang mewakili PDRM dalam inkuiri Suhakam".
"Maka Mokhtar jelas ialah pihak berkepentingan dan memiliki konflik kepentingan. Saya berkongsi keraguan Susanna Liew, isteri pastor Koh, berkenan pasukan petugas khas ini," katanya dalam kenyataan.
Walaupun menyambut baik langkah kerajaan untuk meneliti dapatan dalam inkuiri Suhakam, katanya lagi, penubuhan pasukan petugas khas itu tidak mengurangkan penderitaan keluarganya yang masih berterusan disebabkan "sikap PDRM dalam siasatannya terhadap kehilangan Amari".
Hari ini Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam anggota pasukan petugas khas itu.
Mereka ialah Bekas hakim mahkamah tinggi, Abd Rahim Uda; bekas ketua bahagian perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Zamri Yahya; Pengarah Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria, dan Setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.
Inkuiri Suhakam sebelum ini menyimpulkan Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab atas kehilangan Amri dan Koh.
Sementara itu, keluarga Koh dalam kenyataan pula membangkitkan ketiadaan wanita dan kaum lain dalam pasukan petugas khas tersebut.
"Selain itu, cadangan agar anggota Majlis Peguam, SPRM dan wakil NGO disertakan dalam pasukan itu, yang akan mencerminkan pasukan yang lebih seimbang, bebas dan telus, juga tidak diambil kira.
"Penting untuk siasatan terhadap kes Amri dan Koh ini dilihat bersama, memandangkan bukti fakta, modus operandi dan kenderaan yang digunakan ialah sama, dan anggota polis sama dari Bukit Aman yang menjalankan siasatan kedua-dua kes," kata keluarga Koh dalam kenyataan.