Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Jangan lupa Soal Jawab PM ada dalam manifesto PH
Diterbitkan:  Jun 25, 2019 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 mengingatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong bahawa pelaksanaan sesi khas Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menerusi PMQ, anggota-anggota parlimen diberikan masa selama 30 minit untuk bertanyakan soalan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat pada setiap minggu.

Sehubungan itu Bersih menggesa Liew mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak melaksanakan sesi berkenaan pada masa ini.

"Walaupun perdana menteri boleh menggunakan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) untuk menjawab soalan dan perdana menteri sekarang melakukannya, tiada jaminan bahawa perdana menteri akan datang akan berbuat demikian.

"Sebagai ketua eksekutif dalam kabinet, PM harus dipertanggungjawabkan secara langsung dan bercakap bagi pihak kerajaan dalam PMQ, terutama di bawah undang-undang sekarang di mana PM memegang begitu banyak kuasa dalam membuat keputusan," kata Bersih.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon terhadap kenyataan Liew baru-baru ini, yang mengatakan tidak ada keperluan untuk melaksanakan PMQ pada masa ini.

Liew berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa ini  menjawab soalan semasa MQT yang diadakan pada setiap hari Selasa dan Khamis.

Beliau juga mengatakan perkara itu sudah memadai pada masa ini.

Bersih 2.0 berkata PMQ adalah penting dalam Malaysia Baru bagi membenarkan anggota-anggota parlimen bertanya soalan kepada perdana menteri mengenai isu-isu negara.

"Kami menyeru menteri undang-undang untuk mempertimbangkan semula pendiriannya dan meminda Peraturan Mesyuarat parlimen untuk melaksanakan PMQ seperti yang dijanjikan dalam Buku Harapan.

"Ini untuk menjadikan parlimen sebagai institusi yang kuat bagi menyemak kuasa eksekutif," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS