Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tidak perlu pertikai usaha dakwah kepada Orang Asli Kelantan'

Usaha dakwah beberapa jabatan dan badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan termasuk Majlis Agama Islam (MAIK) kepada masyarakat Orang Asli di Kelantan tidak perlu dipertikaikan kerana Islam adalah agama Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Nassuruddin Daud berkata perkara tersebut secara jelas diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi usaha dakwah itu tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ia tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Kita harap mereka yang tidak berpuas hati itu cuba fahami betul-betul peruntukan tersebut sebelum membuat sebarang tuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian​​​​​​ kepada pemberita di Majlis Mesra Aidilfitri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah jabatan itu Che Mohd Rahim Jusoh.

Kenyataan itu bagi mengulas pandangan beberapa pihak yang mempertikaikan usaha dakwah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan JAHEIK kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini yang menyifatkannya bertentangan dengan hak asasi kemanusian dan kebebasan beragama.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, setakat ini hanya 5,000 dari 16,000 Orang Asli di pedalaman negeri ini menganut agama Islam.

Katanya MAIK menyasarkan untuk mengislamkan semua Orang Asli di negeri ini dalam tempoh 30 tahun lagi.

Beliau berkata, terdapat lebih 100 pendakwah MAIK termasuk penggerak masyarakat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertugas menjaga kebajikan dan memberi pendidikan kepada Orang Asli di negeri ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS