Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada bukti masyarakat bertutur bahasa sama tak berpecah

ULASAN | Dekad 1950-an dan awal 1960-an adalah dua tempoh genting dalam perkembangan sistem pendidikan negara. Peralihan pemerintahan yang dilalui daripada negara yang dijajah kepada sebuah negara merdeka, mendorong kepada pengekalan sistem pendidikan yang ada pada hari ini.

Bermula daripada Laporan Barnes kepada Laporan Fenn-Wu, seterusnya kepada Ordinan Pelajaran 1952, Laporan Razak, yang membawa kepada Ordinan Pelajaran 1957.

Berdasarkan latar belakang sejarah, Malaysia ialah sebagai negara pelbagai etnik yang telah melalui doktrinasi ‘pecah dan perintah’ oleh pihak penjajah. Aspek etnik dan masyarakat merupakan satu realiti yang perlu diambil kira, justeru ia banyak mempengaruhi sistem pendidikan negara sehingga terbentuknya sistem vernakular yang ada pada hari ini.

Negara kita telah dibina atas sikap solidariti dan kerukunan antara kaum sejak sekian lama. Justeru itu, tuduhan bahawa sistem pendidikan vernakular tidak menyumbang kepada perpaduan kaum amatlah dangkal.

Tiada sebarang bukti yang menunjukkan manusia yang bercakap dalam bahasa yang sama tidak akan berlaku zalim terhadap satu sama lain. Kelompok yang bercakap satu bahasa juga tidak semestinya sehati dan sealiran.

Terdapat beberapa kajian yang dibuat diperingkat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengenai penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di peringkat pendidikan rendah.

Laporan tentang Penggunaan Bahasa Vernakular di Sekolah yang diterbitkan oleh Unesco menegaskan "adalah jelas dan nyata bahawa pengantar yang paling baik untuk mengajar kanak-kanak ialah bahasa ibundanya" (Cummins 1979:223) dan "setiap usaha mesti dijalankan untuk memberikan pendidikan dalam bahasa ibunda" (Eastman 1983:83).

Pada tahun ini sahaja, terdapat 16 peratus ibu bapa daripada golongan Bumiputera menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan rendah di sekolah vernakular. Sebarang usaha untuk menafikan hak pendidikan mereka dan baki 84 peratus pelajar-pelajar yang lain adalah tidak bertamadun dan harus dihentikan.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS sendiri iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan menolak pandangan bahawa sekolah vernakular menjadi punca merosakkan perpaduan kaum di Malaysia. Ini membuktikan bahawa kenyataan wakil Dewan Muslimat PAS harus dikecam kerana beliau berpolitik bagai pimping di lereng bukit.

Keutamaan sebenar kita adalah untuk menambah baik sistem pendidikan seperti yang sedang diusahakan oleh pasukan Dr Maszlee Malik. Kita tidak perlu membazir masa dan memberi perhatian kepada kenyataan 'tin kosong' yang langsung tidak membina seperti yang diutarakan oleh wakil Dewan Muslimat PAS ini.

Jelas bahawa hujah dibawa perwakilan PAS ini berniat menyemai kebencian antara rakyat dan mencetuskan permusuhan politik. Ia tidak membawa sebarang manfaat kepada perkara pokok iaitu meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak kita.

Kalau air di hulu sudah berlumpur, jangan harap air di hilir jernih; kalau niatnya tidak betul, mustahil hasilnya bersih.

Semoga pihak polis dapat menyiasat tuduhan beliau yang sangat tidak wajar, malah bertentangan dengan pendirian kepimpinan parti mereka sendiri. Mungkinkah konsep walak tidak terpakai dalam isu-isu seperti ini dalam PAS?

Ini membawa kepada satu persoalan yang harus dijelaskan oleh kepimpinan PAS. Apakah tindakan susulan kepimpinan PAS dalam menashihkan atau memulihkan pemikiran terpesong Dewan Muslimat PAS yang semangnya berbaur hasutan dan mengundang permusuhan?


HOWARD LEE ialah ketua Pemuda DAP Kebangsaan merangkap timbalan ketua Pemuda PH dan exco Perak. Kenyataan ini dikeluarkan atas nama Pemuda DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS