Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP kecewa sesi soal jawab PM di Parlimen tak dilaksana
Diterbitkan:  Jun 25, 2019 8:37 AM
Dikemaskini: 12:37 AM

Anggota Parlimen Subang Wong Chen menyuarakan kekecewaannya susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong bahawa tiada keperluan untuk mengadakan sesi khas Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di parlimen.

Beliau berkata PMQ boleh menjadi platform sah untuk para anggota parlimen mengajukan pertanyaan kepada perdana menteri, yang pada keadaan lain tidak wajib menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Katanya, ia bertujuan sebagai alternatif untuk semak dan imbang - sebagai ganti kepada jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) - memandangkan tiada PSC untuk memantau Pejabat Perdana Menteri dalam model parlimen Westminster.

"Ini satu lagi pusingan U terhadap manifesto reformasi kami.

"Tujuan mengadakan PMQ ialah agar perdana menteri lebih responsif dan bertanggungjawab. Pada masa ini, kuasa perdana meneri dalam demokrasi gaya Malaysia sangat luas dan luar dari kebiasaan," katanya di Facebook semalam.

'Najib jarang di parlimen'

Wong berkata Najib Razak ketika menjadi perdana menteri jarang hadir ke sidang Parlimen apatah lagi menjawab soalan anggota parlimen.

Tiadanya kebertanggungjawaban (impunity) membolehkan skandal 1MDB berlaku dan Malaysia tidak boleh berpatah balik dengan cara seperti itu, katanya.

Sebagai perbandingan, katanya ketua pembangkang di United Kingdom boleh bertanya enam soalan kepada perdana menteri.

Semalam, Liew berkata tiada keperluan untuk PMQ kerana sudah ada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) iaitu pada setiap Selasa dan Khamis ketika parlimen bersidang.

"Jadi saya fikir sekarang ini kita tidak benar-benar memerlukan PMQ lagi.

"Tetapi pada masa sekiranya perlu, maka kita mungkin boleh mempertimbangkannya. Buat masa ini, saya rasa MQT sudah memadai," katanya.

Ia di sebalik Janji 16 manifesto pilihan raya Pakatan Harapan yang menjanjikan PMQ selama 30 minit setiap minggu ketika sidang Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS