Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda mogok lapar desak kerajaan prihatin isu iklim

Seorang pemuda melancarkan kempen mogok lapar di hadapan pintu parlimen bagi mendesak kerajaan pusat meneliti isu krisis iklim yang menurutnya bakal melanda dalam masa 10 tahun.

Wong Chang-Fu, 21, yang baru saja menamatkan ijazah undang-undang, berharap tindakannya akan mendapat perhatian kerajaan pusat dan khalayak ramai bagi meningkatkan kesedaran isu perubahan iklim.

Wong berada di luar bangunan parlimen sejak 10.30 pagi ini, menjelaskan tiga tuntutan menerusi laman Facebooknya, iaitu pertamanya meminta seluruh rakyat Malaysia merenung balik perbuatan manusia terhadap alam sekitar dan membetulkan kesilapan yang dilakukan.

Kedua, Wong menghantar memorandum yang bertajuk “Some Green Thoughts” kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, dan ketiga mendesak kerajaan pusat mengisytihar darurat iklim (climate emergency) dan menjelaskan krisis persekitaran yang sedang dialami kepada rakyat.

“Di peringkat ini, saya mogok lapar bukan untuk mati, tetapi saya sedia untuk berkorban. Saya akan henti mogok lapar sekiranya tuntutan saya dicapai,” katanya di laman Facebook.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Wong menjelaskan bahawa tujuan utama berbuat sedemikian kerana dia mendapati bahawa masalah pemanasan global kian mendesak dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.

Memetik laporan Panel Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau IPCC mengenai Laporan Khas 1.5 Darjah Celsius (SR1.5) pada tahun lepas, Wong berkata dia mendapati bahawa isu pemanasan global akan bertambah buruk dalam masa 10 tahun jikalau tidak melakukan sesuatu.

Bagaimanapun, Wong akur bahawa tuntutan pertamanya sukar dicapai, maka dia menumpukan kepada tuntutan kedua dan ketiga untuk mendesak kerajaan melakukan sesuatu.

Jelasnya, sekiranya kedua-dua tuntutan itu tidak dicapai, dia akan meneruskan mogok lapar setiap hari di hadapan parlimen dari 10.30 pagi hingga 7 petang.

“Dalam peringkat awal ini, saya hanya akan minum air dan tiada makan apa-apa lagi. Saya akan teruskan perjuangan sehingga tuntutan dicapai,” katanya.

 

“Saya pernah menghantar emel kepada Yeo Bee Yin pada Rabu lepas mengenai tuntutan saya, namun tiada balasan daripadanya. Tapi ini saya boleh faham.

"Saya juga melawat ke kilang plastik haram di Jenjarom pada Isnin lepas dan mengambil gambar situasi di sana, namun sambutan kurang baik apabila saya muat naik gambar-gambar tersebut di Facebook.

“Maka, saya mengambil keputusan untuk mogok lapar. Bagi saya, ini adalah cara paling pantas untuk menarik perhatian kerajaan dan orang ramai mengenai isu perubahan iklim,” kata Wong.

Sementara itu, Wong memberitahu bahawa pegawai Yeo telah menghubunginya dan berjanji akan menerima memorandum daripadanya.

Difahamkan Yeo kini sedang berada di Beijing, China atas lawatan kerja rasmi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS