Presiden PKR Anwar Ibrahim membidas saranan Muslimat PAS agar sekolah vernakular dimansuhkan, antaranya kerana tidak mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa kedua di negara ini.
Menyifatkan cadangan itu tidak wajar di Malaysia, Anwar berkata bahasa selain bahasa Melayu juga penting untuk perkembangan negara.
"Bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan rasmi tapi beberapa bahasa lain (boleh) dikembang.
"Kalau Malaysia mahu maju, selain daripada bahasa rasmi yang diterima oleh semua tanpa tolak ansur, maka bahasa Inggeris, Cina dan lain-lain itu penting dan beri manfaat kepada kita,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, di Kuala Lumpur, malam ini.
Naib Ketua Muslimat PAS Salamiah Md Nor ketika berucap di Muktamar PAS ke-65 hari ini berkata sistem vernakular menghalang perpaduan masyarakat.
Beliau juga menyifatkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai tidak melihat sistem pendidikan negara secara lebih jauh.
Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun berkata ia hanyalah satu pandangan dan bukan dasar parti.
Mengulas lanjut, anggota parlimen Port Dickson itu menyifatkan pihak yang tidak mementingkan soal pengusaan bahasa lain sebagai tidak mengikut perkembangan zaman.
“Bukan kita kecilkan kedudukan bahasa Melayu, ia tetap dimartabatkan kerana sudah dimeterai dalam perjanjian dan perlembagaan.
"Tetapi untuk meremehkan dan merendahkan kedudukan bahasa lain satu sikap yang sangat tidak bijak dan tidak wajar,” katanya lagi.
'Kemuka bukti dakwaan ketum'
Mengulas isu pemimpin PKR Perlis yang didakwa ketagihan ketum, Anwar berkata pihak yang membuat dakwaan itu perlu juga mengemukakan bukti.
"Kalau ada bukti, saya tidak mahu pertahan sesiapa...Sesiapa pun berhak menegur (tetapi) kalau tidak ada (bukti), duduk diam.
"Rujuk jawatankuasa disiplin dan kalau ada bukti sila kemukakan," katanya lagi.
Beliau mendakwa isu itu dibangkitkan oleh sejumlah anggota PKR yang digugurkan daripada jawatan, tetapi tidak menjelaskannya secara spesifik.
Terdahulu, sekumpulan pemimpin cabang Padang Besar membuat dakwaan itu menerusi satu memorandum bertarikh 24 Mei 2019 yang diserahkan kepada Anwar.
Salinan memorandum turut diberikan kepada beberapa pemimpin tinggi PKR, antaranya Timbalan Presiden Azmin Ali, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dan naib-naib presiden - Zuraida Kamarudin, Xavier Jayakumar dan Tian Chua.
Malaysiakini telah menghubungi pemimpin yang dikaitkan dengan dakwaan itu dan masih menunggu maklum balasnya.