Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid junjung titah Agong saranan penyelarasan fatwa
Diterbitkan:  Jun 21, 2019 3:12 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penyelarasan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai fatwa rasmi di peringkat negeri-negeri.

Jelas Mujahid, penyelarasan fatwa dapat memperkasakan undang-undang syariah.

"Titah Yang di-Pertuan Agong selari dengan hasrat Kerajaan yang kini dalam usaha untuk menyeragamkan Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri di seluruh Malaysia agar ia dapat dijadikan panduan dan asas kepada negeri-negeri.

"Penyeragaman fatwa serta undang-undang syariah perlu bagi memperkasakan undang-undang syariah agar ia dapat memberikan keadilan dan rahmat kepada semua pihak," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, dalam Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Kuala Lumpur, Sultan Abdullah menyarankan penyelarasan fatwa.

Baginda juga menyarankan agar keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dijadikan sebagai fatwa rasmi dan hanya negeri-negeri sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk mewartakannya.

Baginda juga bertitah terdapat beberapa undang-undang syariah utama telah diseragamkan di negeri-negeri namun masih terdapat satu undang-undang syariah utama yang masih belum diseragamkan iaitu undang-undang kesalahan jenayah syariah.

Titah baginda Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil sedang berusaha untuk berunding dan berbincang dengan negeri-negeri bagi mendapatkan maklum balas dan persetujuan untuk meminda dan menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri.

Sementara itu, Mujahid turut berkata bahawa pemerkasaan mahkamah syariah perlu dibuat secara holistik.

Menurutnya, ia adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan mahkamah syariah melalui kajian bagi penambahbaikan undang-undang sedia ada, mengelak pertembungan antara undang-undang sivil dan syariah, meningkatkan prasarana mahkamah dan kemahiran hakim-hakim syariah dalam mengendalikan kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS