Ahli Parlimen PKR Johari Abdul mendakwa penulis manuskrip 'Mengapa Anwar Tak boleh Jadi PM' cuba memeras ugut untuk mendapatkan bayaran lebih tinggi daripada yang ditawarkan kepadanya untuk menulis buku itu.
Menurut ahli parlimen Sungai Petani itu, penulis berkenaan menghubunginya dan berkata dia mahu berjumpa dengan presiden PKR.
"Dia maklumkan saya bahawa dia sudah siapkan buku itu dan ada orang menawarkan RM400,000.
"Jika Anwar tawarkan harga lebih tinggi, dia sanggup untuk beri buku itu kepada Anwar. Jika tidak, dia akan beri kepada individu yang sanggup menerbitkan buku berkenaan," katanya.
Johari berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat biro politik di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Pada sidang media sebelum itu, Johari memetik nama penulis itu sebagai Yahaya Ismail dan menyifatkan kandungan manuskrip buku itu sebagai fitnah terhadap Anwar.
Johari turut memaklumkan bahawa bab 15 buku itu mempromosikan pemimpin lain yang dikatakan lebih layak menjadi perdana menteri.
Berdasarkan semakan, bab 15 buku itu bertajuk "Azmin Ali Bakal PM".
Sementara itu, Johari berkata tindakan penulis manuskrip itu meminta bayaran lebih tinggi mempunyai unsur pemerasan.
"Tapi dengan menghubungi saya, dia salah pilih orang.
"Ini soal maruah. Ini soal jenayah apabila kamu mengugut orang untuk buku ini tidak diterbitkan.
"16 bab penuh dengan fitnah. Hak dia untuk mempromosikan orang lain sebagai perdana menteri.
"Tapi apabila dia cuma memeras ugut, dia melampau batas. Saya tidak boleh berkompromi dengan perkara ini," katanya.
Johari berkata dia akan menyerahkan manuskrip itu ketika membuat laporan polis.