MUKTAMAR PAS | Seorang anak didik Dr Zakir Naik, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, menyeru supaya PAS mencontohi DAP dan MCA dalam mencari titik persamaan dalam memperjuangkan agama.
Penegasan itu dibuat ketika beliau tampil selepas pewakilan selesai perbahasan laporan tahunan Pemuda PAS dan sebelum ketua-ketua sektor menjawab isu yang dibangkitkan.
Melalui slot khas yang diberikan kepadanya, Muhammad Zamri menyeru perwakilan supaya bersatu dalam memperjuangkan agama Islam termasuk dalam isu yang melanda pendakwah bebas dari India itu.
Katanya, pimpinan beragama Islam di Malaysia perlu mencontohi sikap pimpinan bukan Muslim seperti daripada DAP dan MCA yang tetap bersatu walaupun berlainan parti apabila berhadapan dengan kepentingan masyarakat Cina.
"Kita semua harus bersatu, kena cari titik persamaan yang ada antara kita.
"Mungkin kita dari latar belakang berbeza, tetapi agama ini sepatutnya menyatukan kita. Kerana kita punyai perjuangan yang sama.
"Saya seru perwakilan untuk contohi bangsa Cina dalam kesatuan. Kita lihat dalam persatuan mereka ada DAP, ada MCA tetapi apabila timbul isu berkaitan bahasa mereka, atau bangsa mereka - mereka tetap bersatu walaupun mewakili parti politik yang berbeza," katanya.
Kata Muhammad Zamri beliau sedih apabila Islam "dibuli" ada antara anggota parlimen beragama Islam tidak bersuara menyatakan pembelaan.
Rela serah IC
"Saya rasa sedih melihat di parlimen, apabila Islam dibuli, ada dalam kalangan anggota parlimen Islam tak boleh membuka mulut (membela). Sungguh memalukan," jelasnya.
Pada 28 April lalu, Muhammad Zamri ditahan polis ekoran beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.
Dia ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di Arau, Perlis kira-kira jam 2.30 pagi.
Lebih 300 laporan polis seluruh negara dibuat terhadap pendakwah itu ekoran rakaman video ceramahnya yang tular dikatakan menghina Hindu.
Penahanan itu sekali gus mengundang bantahan antaranya oleh Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan penahanan tersebut.
Sementara itu, penceramah bebas berusia 34 tahun itu berkata umat Islam perlu sedar betapa berbezanya matlamat yang mahu dicapai oleh umat Islam berbanding bukan Islam.
"Pemikiran kita sebagai Islam pasti tak sama dengan ideologi orang bukan Islam. Kerana apa yang kita impikan adalah akhirat, manakala mereka impikan dunia.
"Saya lebih rela kehilangan segala duit dan harta, namun tak rela kehilangan agama. Ayuhlah bersatu, cukuplah kita dibuli, dipandang lemah kerana kita berpisah.
"Pelbagai perkara yang memisahkan kita. Aliran memisahkan kita, mazhab memisahkan kita dan politik. Apakah kita akan terus alpa dan lemah kerana perpisahan-perpisahan ini," katanya.
Tambahnya, pemisahan yang wujud itu menjadi bola tanggung kepada musuh dan mereka yang anti-Islam untuk menyerang dan melemahkan Islam.
Sementara itu Muhamamd Zamri menyatakan beliau sanggup kehilangan status warganegara Malaysia sekiranya kerajaan menghantar pulang Zakir ke India seperti yang dikehendaki New Delhi.
"Jika kerajaan mahu menghantar pulang Dr Zakir Naik, saya rela serahkan IC (kad pengenalan). Saya tidak rela untuk terus duduk di Malaysia," tegasnya ketika menyentuh isu ekstradisi yang dihadapi pendakwah itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.
Beliau menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas New Delhi dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India.
N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.