Ahli Parlimen PKR Johari Abdul mendedahkan manuskrip buku yang menurutnya bertajuk 'Mengapa Anwar Tak boleh Jadi PM'.
Pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Johari memaklumkan bahawa dia akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Perkembangan itu hadir ketika isu skandal seks yang didakwa melibatkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sedang hangat diperkatakan.
Dalam kenyataan medianya, Johari berkata bab 15 manuskrip berkenaan mempromosi pemimpin yang dianggap oleh penulis manuskrip buku itu layak diangkat menjadi perdana menteri.
Berdasarkan semakan pemberita pada manuskrip itu, bab 15 menyatakan "Azmin Ali Bakal PM".
"(Presiden PKR) Anwar Ibrahim beritahu saya bahawa penulis seperti ini ada ramai.
"Tapi saya beritahu Anwar, beliau tak boleh lepaskan orang seperti ini.
"Ia perlu dihentikan," kata Johari yang merupakan ahli parlimen Sungai Petani.
Johari, yang mendakwa menerima manuskrip itu pada 10 Jun lalu, menyatakan nama penulis manuskrip berkenaan sebagai Yahaya Ismail.
"Saya tak kenal penulis bernama Yahaya Ismail, namun saya difahamkan beliau adalah seorang penulis upahan.
"Saya sudah baca keseluruhan manuskrip itu dan mendapati ia sarat dengan fitnah dah tohmahan yang kerji dan dahsyat terhadap Anwar, termasuklah menggelarnya homoseksual, rasuah, dan agen Zionis dan AS," katanya
Manuskrip itu dilihat mengimbau semula ketika era pertama pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang menyaksikan buku bertajuk '50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri' disebarkan.
Pada September 1998, Dr Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri kerana didakwa terlibat dalam liwat dan salah guna kuasa.
Anwar bagaimanapun menegaskan dakwaan itu direka oleh Dr Mahathir dan sekutunya.
Sementara itu, Johari berkata, dia menyokong sepenuhnya mana-mana pihak yang mendedahkan salah laku dan rasuah mana-mana pemimpin berdasarkan fakta dan bukannya fitnah.
Tambahnya, manuskrip berkenaan mengandungi elemen mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.
"Penulis buku ini bukan sahaja mempertikaikan malah memperlekehkan institusi Raja-raja Melayu.
"Ini merupakan suatu yang tidak wajar kerana Yang di-Pertuan Agong bertindak dalam ruang lingkup undang-undang yang dibenarkan," katanya.