Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan merampas beruk milik seorang penduduk yang menyerang seorang kanak-kanak sehingga parah dalam kejadian di Kampung Teluk Renjuna, Tumpat, semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamad Hanif berkata, tindakan itu adalah langkah permulaan untuk mengetahui sama ada penjagaan haiwan itu berlesen ataupun tidak.
Beliau berkata langkah itu juga bertujuan melihat tingkah laku haiwan berkenaan dan membuat siasatan mengapa hidupan liar itu bertindak sedemikian (kemungkinan agresif disebabkan sakit ataupun sudah berusia).
"Maklumat awal yang diperoleh mendapati beruk itu dipelihara untuk tujuan sara hidup. Namun begitu kami juga akan berjumpa dengan pemilik beruk itu dan syorkan apa-apa yang patut dilakukan selepas ini.
"Biasanya banyak faktor menyebabkan beruk ini menjadi agresif termasuk lapar, sudah berusia, tekanan ataupun diganggu (provokasi)," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak berkenaan di Wad Anggerik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ady Ermanty Haniff berkata pihaknya juga telah menyerahkan borang Tabung Wang Amanah Serangan Binatang Buas kepada keluarga mangsa.
Katanya Jabatan Perhilitan akan melakukan perjumpaan dengan pihak hospital bagi mendapatkan laporan berkaitan kecederaan mangsa sebelum borang itu diajukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Berkaitan kes seperti ini, pihak jabatan mengesyorkan kepada mana-mana pemilik hidupan liar yang mana mereka mungkin tidak lagi ingin memelihara hidupan liar tersebut, supaya jangan bertindak melepaskannya sendiri ataupun mengurungnya.
"Kita syorkan agar haiwan ini diserahkan kepada jabatan untuk tindakan selanjutnya supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata buat masa ini, pindaan mengenai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sedang dipinda yang mana akan ada seksyen baharu iaitu pemilik hidupan liar berlesen perlu bertanggungjawab terhadap hidupan liar yang dipelihara agar tidak berada berhampiran dengan kediaman manusia dan sekiranya tidak lagi berminat untuk memelihara, maka perlu diserahkan kepada pihak Jabatan Perhilitan.
Dalam kejadian pukul 6 petang semalam, mangsa, Muhammad Putra Rafiqi Mohd Rozaidi, 9, cedera parah di kedua-dua belah tangan dan kaki, berhampiran kemaluan dan perut akibat diserang beruk di Kampung Teluk Renjuna di Tumpat.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua sepupunya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berhari raya di rumah jiran berdekatan.
- Bernama