Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tak setuju setiausaha gesa Azmin letak jawatan
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 11:55 PM
Dikemaskini: 3:55 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kedudukan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

"Saya tidak bersetuju dengan kenyataan saudara Farhash Wafa berkenaan isu video serta kedudukan Azmin sebagai timbalan presiden PKR.

"Sekali lagi saya menggesa pimpinan dan ahli parti supaya menggunakan saluran yang betul dan menyerahkan tugas siasatan isu ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan media ringkas dua perenggan malam ini.

Anwar merujuk kenyataan Farhash yang menggesa Azmin meletakkan jawatan sekiranya melakukan kesalahan berhubung isu klip video seks yang dikaitkan dengannya.

Farhash yang juga merupakan pengerusi PKR Perak berkata demikian awal hari ini ketika menafikan penglibatannya dalam isu berkenaan.

Nama Farhash terheret dalam isu sensasi itu selepas dia dituduh terlibat menjadi dalang di sebalik isu berkenaan dalam apa yang didakwa sebagai kempen menentang Azmin.

Farhash Wafa.

Masing-masing Anwar dan Farhash menafikan penglibatan dalam isu klip video seks itu.

Isu klip video seks menggemparkan negara apabila pada 12 Jun lalu Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mengaku dirinya adalah individu dalam klip video seks lucah yang tular.

Haziq turut mendakwa Azmin sebagai individu bersamanya dalam klip video yang menurutnya dirakan pada 11 Mei lalu di Sandakan, Sabah.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq ditahan di KLIA Jumaat lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari berikutnya. Dia sedang disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk melakukan persetubuhan di luar tabii.

Azmin sudah memberi keterangan kepada polis.

Azmin hari ini menyatakan keyakinan bahawa video seks yang didakwa melibatkan dirinya didalangi oleh "orang dalaman" parti itu.

Terdahulu, media melaporkan tentang kumpulan WhatsApp PKR yang dikatakan kecoh apabila seorang pengerusi PKR negeri, yang dipercayai merujuk kepada Farhash gagal dihubungi sejak klip video pertama mengenai skandal seks yang dikatakan melibatkan Azmin mula diedarkan minggu lalu.

The Star berkata nama individu itu muncul ketika Haziq ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu berlepas ke Manila.

Farhash bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan dia menghilangkan diri apabila klip video seks itu mula diedarkan.

Farhash menjelaskan dia sudah lama pulang dari melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan kini bercuti untuk menyiapkan tesis PhD dalam bidang pengurusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS