Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata tidak adil bagi mana-mana pihak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung video seks yang didakwa melibatkan dirinya, memandangkan kes itu masih dalam siasatan.
Azmin hari ini diminta mengulas SBS News dari Australia yang melaporkan bahawa walaupun tidak dapat mengesahkan jika orang dalam video tersebut adalah timbalan presiden PKR itu, namun para pakar bersetuju bahawa kelihatan tidak ada sebarang pengubahan digital telah dibuat.
"Saya telah mengambil beberapa tindakan untuk membersihkan nama saya selain daripada laporan qazaf laporan polis dan juga tindakan-tindakan lain yang mungkin diberikan nasihat oleh peguam saya.
"Jadi apa pun kenyataan yang dikeluarkan individu ataupun mana-mana pihak pada ketika ini, saya kira adakah tidak adil kerana siasatan sedang berjalan berdasarkan laporan yang sedang dibuat.
"Sekiranya ada pihak yang tidak bertanggunjawab membuat kenyataan-kenyataa seperti ini, ia boleh dilihat sebagai mengganggu proses siasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB, di Shah Alam, hari ini.
Malah, Azmin berkata beliau kekal dengan pendiriannya bahawa video berkenaan merupakan agenda politik jahat yang cuba menyekat kerjaya politiknya.
Beliau juga yakin penularan video kontroversi itu merupakan agenda politik pihak tertentu yang bertujuan mahu menyekat kemaraan dan prestasinya dalam kerajaan serta bidang politik.
"Saya yakin umum telah pun melihat siapakah dalang di dalam episod ini.
"Biarlah polis melakukan siasatan dan saya kira tidak adil sekiranya kita atau pun individu membuat kenyataan-kenyataan yang boleh dilihat sebagai mengganggu siasatan.
"Saya kira biarlah rakyat membuat hukuman ke atas perkara ini dan sekarang pun telah terbukti semakin kuat persepsi membayangkan pihak yang terlibat di dalam konspirasi dan tohmahan ini," katanya.
Minggu lalu, Haziq yang mendakwa terlibat sama dalam video terbabit tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi atas ranjang bersama Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR.
Pada Jumaat lalu, polis menahan Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengakui terlibat dalam video tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dipercayai akan berlepas ke Manila, Filipina.
Bagaimanapun Haziq kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.