Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin berkata kedudukan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanannya akan diputuskan dalam "satu dua hari" lagi.
Beliau berkata Haziq telah memberikan surat tunjuk sebab pada 14 Jun lalu dan pihak kementerian kini sedang meneliti surat tersebut.
"Kita baru dapat (surat) Jumaat dan hari ini (baru) Isnin. Kementerian terutama bahagian sumber manusia sedang menelitinya.
"Satu dua hari ini akan ada keputusan. Kita tidak akan menunggu masa lama (untuk buat keputusan)," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.
Katanya, antara jawapan yang dinyatakan Haziq dalam suratnya adalah dia mengalami kemurungan ekoran penularan video seks tersebut dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.
Surat tunjuk sebab itu dikeluarkan pada 12 Jun lalu, beberapa jam selepas Haziq membuat pengakuan sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang tular, serta mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebagai seorang lagi yang terlibat.
Dalam sidang media 13 Jun lalu, Shamsul berkata surat itu dikeluarkan atas beberapa sebab, antaranya kerana syarat dalam kontrak Haziq turut menyentuh soal tindakan yang boleh mencemarkan kementerian.
Haziq juga boleh dianggap ponteng kerja (absent without leave) kerana tidak hadir bertugas sejak video pengakuannya, katanya ketika sidang media itu.
Mengulas lanjut, Shamsul yang juga ketua penerangan PKR tidak menolak kemungkinan lelaki berusia 27 tahun itu akan dipecat.
"Pihak pentadbiran sedang meneliti dan kita akan maklumkan nanti," katanya lagi.